BANJIR di Kampung Sungai Semungkis, Hulu Langat selepas hujan lebat bermula 3.30. FOTO Ihsan Bomba
Mohd Hasbi Sidek
mohd.hasbi@hmetro.com.my


EMPAT rumah di Kampung Sungai Semungkis, Hulu Langat, dinaiki air setinggi kira-kira 0.3 meter selepas hujan lebat bermula 3.30 petang hari ini.

Penolong Pengarah Operasi Negeri Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Mohd Sani Harul berkata, bagaimanapun tiada mangsa yang dipindahkan.

"Hujan lebat menyebabkan air di Sungai Langat melimpah sehingga mencecah setinggi 0.3 meter di beberapa kawasan.

"Sebanyak empat rumah dinaiki air, namun sehingga kini arahan pemindahan belum dikeluarkan," katanya.

Beliau berkata, pembangunan di tanah lot milik persendirian tanpa kebenaran Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dikenal pasti menjadi punca air melimpah.

“Sehingga 8 malam tadi air masih belum surut dan pasukan bomba masih dalam keadaan bersiap siaga membantu mangsa jika arahan dikeluarkan, " katanya.

Menurutnya, air turut naik di Lebuh Raya Besraya berhampiran Bluewater Estate dan sekitar The Mines Resort City setinggi 0.6 meter.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Oktober 2017 @ 8:59 PM