GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Shaiffulazhar Misri
am@hmetro.com.my


YAYASAN Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) akan melatih 250,000 guru seluruh negara menggunakan teknik pembelajaran dan pengajaran (PnP) terbaharu, awal tahun depan.

Ketua Pengarahnya Datuk Abibullah Samsudin berkata, jumlah itu membabitkan guru sedang berkhidmat di 3,423 sekolah terpilih di 152 daerah dan bertujuan membantu calon dari luar bandar untuk mencapai keputusan lebih cemerlang dalam peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

"Kami bukan mahu bersaing dengan Kementerian Pendidikan sebaliknya melengkapkan murid dan pelajar dalam menghadapi peperiksaan yang penting dalam hidup mereka.

"Menerusi pemerhatian dijalankan masih ada calon UPSR masih tidak boleh membaca dan mengira. Dengan adanya program seperti ini, menerusi Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) pelbagai agensi kerajaan dan swasta boleh menghulurkan bantuan bagi pembangunan pendidikan negara," katanya.


ANTARA peserta program inspirasi. FOTO Noor Azurin Mohd Sharif

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program Inspirasi SPM YaPEIM peringkat negeri Melaka di Jasin, hari ini yang turut dihadiri Pengarah Pelajaran negeri, Abu Bakar Sahari.

"Saya yakin pencapaian calon UPSR dan SPM akan lebih melonjak selepas ini dengan adanya pembabitan guru yang mana, tumpuan khusus diberikan kumpulan prestasi sederhana dan lemah.

"Calon-calon ini berasal dari kawasan luar bandar dan diharap mereka mendapat keputusan lebih baik bagi meneruskan pengajian ke institusi pengajian tinggi (IPT), sekali gus dapat meningkatkan taraf pendidikan di kawasan itu," katanya.

Menurutnya, tahun ini YaPEIM memperuntukkan RM156,000 bagi melaksanakan Program Inspirasi UPSR dan SPM membabitkan seramai 3,636 orang murid dan pelajar seluruh negeri ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Oktober 2017 @ 7:40 PM