Sofyan Rizal Ishak
sofyan.rizal@hmetro.com.my


SAMSUNG Malaysia Electronics memperkenalkan model telefon pintar terbarunya iaitu Galaxy Note Fan Edition yang dihasilkan khusus bagi komuniti Note berdedikasi.

Pengurus Kanan Pemasaran Produk, Unit Perniagaan Mudah Alih dan Teknologi Maklumatnya, Julian Thean berkata peranti baru yang menawarkan semua ciri-ciri utama Galaxy Note itu dibina dengan komponen yang tidak digunakan daripada model Galaxy Note 7.

"Galaxy Note Fan Edition adalah bukti komitmen kami kepada peminat Note di mana kami berkerjasama rapat dengan pakar berdedikasi untuk menggunakan dan mengitar semula komponen yang tidak digunakan daripada Note 7 bagi menghasilkan model terbaru ini," katanya pada majlis pengenalan model terbabit di Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau berkata, Samsung Galaxy Note Fan Edition adalah peranti baru sepenuhnya yang memiliki rekaan dan fungsi inovatif serta menawarkan ciri hiburan dan produktiviti sama seperti Note 7.

"Jika dibandingkan dengan Note7, peranti baru ini memiliki pemproses yang dipertingkatkan di mana ia berupaya menangani isu pengkomputeran serta bateri 3,200mAh baru yang lebih selamat dan mematuhi pemeriksaan keselamatan Samsung," katanya.

Samsung Galaxy Note Fan Edition ditawarkan dalam dua warna iaitu Biru Coral dan Hitam Onyx dan ia boleh mula didapati di pasaran pada 25 Oktober ini di semua cawangan Samsung Experience Stores, pengedar sah dan rakan saluran terpilih pada harga RM2,599 termasuk Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Oktober 2017 @ 6:01 PM
TELEFON pintar 'Samsung Galaxy Fan Edition' (kanan). FOTO Nik Hariff Hassan