PELAJAR SMK Raja Perempuan Ipoh menunjukkan replika cek yang dimenangi.
HM Digital

Shah Alam: “Cabaran utama projek ini ketika berdepan dengan penduduk setempat bagi membuat bancian lokasi sampah haram. Bukan semua masyarakat boleh menerima kehadiran kami,” kata Noor Halinah Mohamed Ali Jinnah, 16, semalam.

Sekolahnya iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Raja Perempuan, Ipoh, Perak dinobatkan sebagai juara Program Toyota Eco Youth (TEY) 2017 anjuran UMW Toyota Motor.

Noor Halinah yang juga ketua pasukan sekolah menewaskan 72 pelajar dari 11 sekolah lain di seluruh negara, sekali gus membawa pulang hadiah utama berjumlah RM10,000.

Pelajar tingkatan empat itu berkata, projek dinamakan RPS Minion Park itu membuat perubahan daripada tempat pembuangan sampah haram kepada taman rekreasi mini.

“Dalam projek ini, tempat pembuangan sampah haram diubah menjadi tempat yang cantik, sekali gus mengelakkan orang awam menjadikan kawasan itu sebagai tempat pembuangan sampah haram.

“Pelbagai program diatur untuk menghias kawasan itu, kami juga menggunakan tayar terpakai serta menanam pokok bagi mengindahkan kawasan itu,” katanya ditemui pada Majlis Pameran dan Persidangan TEY 2017 di sini semalam.

Majlis itu dihadiri Timbalan Menteri Pendidikan I, Datuk P Kamalanathan, Timbalan Pengerusi UMW Toyota Motor Sdn Bhd, Akio Takeyama dan Pengarah Kumpulan Sokongan Operasi UMW Toyota Motor Sdn Bhd Mohd Shamsor Mohd Zain.

Dalam pertandingan memasuki tahun ke-17 bertemakan Mengurangkan Jejak Karbon, SMK Lopeng Tengah, Miri, Sarawak, memenangi tempat kedua, sekali gus membawa pulang wang tunai RM7,000 manakala SMK Balai Besar, Dungun di tempat ketiga dengan meraih RM5,000.

Sementara itu, Kamalanathan dalam ucapannya menyatakan perasaan bangga terhadap usaha UMW Toyota Motor Sdn Bhd yang menganjurkan TEY sejak 2001 bagi menyemarakkan kesedaran alam sekitar dalam kalangan pelajar di peringkat sekolah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Oktober 2017 @ 6:13 AM