KEADAAN bilik tidur di rumah penduduk di perumahan seksyen 23 yang terjejas.
Faliq Lajim
am@hmetro.com.my


Shah Alam: “Saya tidak lena tidur setiap hari kerana takut rumah runtuh,” kata Watilin Semaila, 38, salah seorang daripada pemilik rumah teres dua tingkat di Taman Perumahan Seksyen 23 di sini.

Mana tidaknya, sudah dua kali dia cedera ditimpa serpihan simen besar dan atap bumbung rumah berikutan rumah yang diduduki mendap dan retak sejak beberapa tahun lalu.

Watilin adalah antara 86 pemilik rumah teres berkenaan yang dikatakan dibina di atas kolam loji kumbahan pada 2011 dan kini satu persatu mengalami keretakan dan mendapan teruk hingga memaksa beberapa penduduk meninggalkan rumah dan menyewa di kawasan lain.

Difahamkan, 24 daripada rumah terbabit dikategorikan sebagai kritikal dan dipercayai tidak selamat diduduki.

Mereka mendakwa sudah banyak kali mengemukakan aduan kepada pihak berkenaan, namun tiada tindakan sewajarnya diambil menyebabkan mereka diselubungi ketakutan saban hari.

Perasaan takut yang sama dikongsi Siti Zaliha Mohd Noor, 36, yang terpaksa mengeluarkan wang lebih setiap bulan dengan menyewa rumah di kawasan lain kerana bimbang keselamatan keluarga tinggal di rumah yang mungkin runtuh pada bila-bila masa.

Dia yang juga Ahli Jawatankuasa Persatuan Komuniti Seksyen 23 berkata, kebanyakan rumah yang retak adalah di Jalan Tarif; Jalan Komoditi Satu dan Dua; Jalan Dividen Satu, Dua dan Tiga; Jalan Laba dan Jalan Analisis.

Katanya, dia serta beberapa penduduk lain sudah banyak kali membuat aduan kepada pihak berkenaan namun sehingga kini tiada jalan penyelesaian.

Penduduk lain, Hajar Abdul Rahim, 43, berkata, ketika baru menduduki rumahnya itu pada 2011 berlaku keretakan besar namun pihak bertanggungjawab sudah membaikinya dalam tempoh liabiliti 24 bulan.

“Saya ingatkan ia sudah selesai tetapi hari ini makin banyak pula keretakan serta mendapan berlaku,” katanya.

Sementara itu Timbalan Pengerusi Persatuan Komuniti Seksyen 23, Md Yusop Selamat berkata, perkara itu mesti diselesaikan segera berikutan ia membabitkan soal keselamatan penduduk di kawasan itu.

“Semakan sijil layak menduduki (CF) perlu dinilai semula dalam menentukan keselamatan struktur rumah di kawasan persekitaran ini benar-benar selamat apatah lagi kawasan ini adalah bekas kolam loji kumbahan,” katanya.

Sementara itu, jurucakap Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) ketika dihubungi berkata, pihaknya kini sedang memuktamadkan pelan bagi pembaikan rumah berkenaan dalam masa terdekat.

“PKNS adalah pemilik tanah manakala pemaju pula kontraktor yang sepatutnya bertanggungjawab membuat kerja pembaikan.

“Ketika ini kami sedang berbincang bersama pemaju dan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) bagi menyelesaikan masalah ini,” katanya yang turut memaklumkan akan melakukan proses pemindahan penduduk di rumah yang terjejas teruk dalam masa terdekat.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Oktober 2017 @ 5:24 AM