WAN bersama penduduk membantah tindakan MDHS.
HM Digital

Kuala Kubu Bharu: “Saya merayu janganlah robohkan rumah saya, hanya ini saja tempat saya dan anak-anak berteduh,” rayu Wan Rizuan Che Wan, 35, kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) supaya tidak merobohkan bengkel dan rumah didiami mereka sejak 25 tahun lalu.

Menurutnya, bengkel kereta yang diusahakan sejak kecil di Kampung Dagang Setia di sini, menjadi sumber pendapatan utama keluarganya.

Katanya, sejak diarahkan tutup dua bulan lalu dia tidak mempunyai sumber pendapatan dan terpaksa bergantung kepada pendapatan isteri yang bekerja di agensi kebajikan.

“Dua anak saya masih kecil berusia tujuh dan sembilan tahun serta bersekolah di Sekolah Kebangsaan Kuala Kubu Bharu (SKKB).

“Selama ini, hasil bengkel kereta inilah menyara hidup kami. Jika ia diroboh, bagaimanapun saya boleh mencari sumber pendapatan,” katanya di sini, semalam.

Wan Rizuan berkata, Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) sudah memberikan notis arahan pemberhentian aktiviti perniagaan bengkel kereta itu Julai lalu diikuti notis pengosongan premis serta notis amaran untuk merobohkan bengkelnya.

Katanya,dia tidak diberi pilihan atau setidak-tidaknya diberikan tempat lain serta pampasan sewajarnya.

Menurutnya, dia menyedari tanah yang diduduki itu adalah rezab kerajaan namun berharap MDHS memberi pertimbangan dengan mengambil kira nasib keluarganya yang sekian lama mendiami kawasan itu.

Sementara itu, Seiausaha MDHS, Azman Dahlan berkata, pihaknya sedang menguatkuasakan Akta 133 Akta Jalan, Parit Dan Bangunan Seksyen 70(1) terhadap bangunan yang didirikan tanpa kebenaran.

“Unit Penguatkuasaan Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Selangor diarahkan mengeluarkan notis pindah kepada pengusaha bengkel berkenaan.

“Bagaimanapun, MDHS bersedia membantu mendapatkan premis lain bagi pengusaha itu berpindah dan mendapatkan lesen perniagaan yang sah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Oktober 2017 @ 5:23 AM