TONGKAT dan selipar mangsa yang ditemui pada tembok hadapan rumahnya. FOTO Ihsan PDRM
Mohd Hasbi Sidek
mohd.hasbi@hmetro.com.my


LELAKI OKU ditemui maut di tempat letak kereta PPR Pinggiran Bukit Jalil, Bukit Jalil, petang tadi, dipercayai terjatuh dari tingkat 10.

Dalam kejadian pada 2.30 petang itu, Yee Siew Choy, 52, ditemui dalam keadaan tertiarap dan disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan.

Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner Chong Kok Sin berkata, pihaknya menemui tongkat dan selipar milik lelaki berkenaan di balkoni hadapan rumah sewanya.

"Pusat kawalan Ibu Pejabat Daerah (IPD) Cheras menerima panggilan memaklumkan seorang lelaki dipercayai terjatuh dari bangunan berhampiran tempat letak kereta.

"Pegawai penyiasat (IO) yang ke lokasi mendapati lelaki itu berada dalam keadaan tertiarap dan paramedik dari Pusat Perubatan Univerisiti Kebangsaan Malaysia (PPKUM) mengesahkan dia meninggal dunia," katanya.

Beliau berkata, waris lelaki berkenaan mendakwa mangsa baru keluar dari pusat jagaan orang tua di Setapak.

"Adik lelaki itu mendakwa abangnya meminta untuk membawanya ke rumah di PPR berkenaan kerana baru sahaja menyewa di unit itu.

"Pada 1.30 tengah hari, lelaki itu memaklumkan kepada adiknya untuk keluar membeli barang sebelum menerima panggilan daripada rakan memberitahu abangnya meninggal dunia," katanya.

Mayat mangsa dihantar ke jabatan forensik PPUKM untuk bedah siasat dan dimaklumkan bedah siasat akan dijalankan pada pagi esok.

"Hasil siasatan mendapati tiada unsur jenayah dalam kejadian ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Oktober 2017 @ 9:57 PM