TERTUDUH dibawa keluar mahkamah selepas didakwa dengan dua pertuduhan mencabul anak saudara perempuanya, dalam kejadian Mei tahun lalu. FOTO Zuhairi Zuber
Nur Saliawati Salberi
nursaliawati@mediaprima.com.my

BURUH dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh hari ini dengan dua pertuduhan mencabul anak saudara perempuanya, dalam kejadian Mei tahun lalu.

Tertuduh yang berusia 35 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa mahkamah dihadapan Majistret Mohd Firdaus Saleh.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap mangsa berusia 11 tahun enam bulan dengan cara meraba payudara dengan niat hendak mencabul kehormatannya.

Justeru, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan (KK) yang memperuntukan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau dengan sebat atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa melanggar kesopanan terhadap mangsa yang sama dengan kelucahan melampau dengan cara menyuruh mangsa untuk mengusap dan memegang kemaluan.

Bagi perbuatan ini, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 377D KK yang memperuntukan hukuman penjara sehingga dua tahun, jika sabit kesalahan.

Semua kesalahan itu dilakukan tertuduh di rumah di Taman Rambai Jaya, Tanjung Minyak, pada jam kira-kira 1.30 tengah hari, pada penghujung Mei 2016.

Pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya N Sivashangari mencadangkan jumlah jaminan RM8, 000 dibenarkan kepada tertuduh serta syarat tambahan tidak membenarkan lelaki terbabit mendekati serta

mengganggu mangsa.

Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguam G Kumaresan merayu agar jumlah jaminan dikurangkan memandangkan tertuduh bekerja kampung dengan pendapatan bulanan RM900 selain perlu menanggung ibu bapa serta

isteri.

Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM4, 000 bagi kedua-dua pertuduhan serta memberi amaran agar dia tidak menganggu atau mengancam mangsa

jika tidak jaminan akan ditarik.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Oktober 2017 @ 6:33 PM