Anggota bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam satu kemalangan membabitkan sebuah lori dengan bas di Jalan Raja Dr Nazrin Shah. FOTO Ihsan Bomba
Razif Rosli
am@hmetro.com.my


KELINDAN lori cedera akibat tersepit selepas kenderaan dinaikinya terbabit kemalangan dengan sebuah bas Perak Transit di Jalan Raja Dr Nazrin Shah berhadapan Hentian Limau Bali Tambun di Ipoh, pagi ini.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Simpang Pulai, Pegawai Bomba Kanan II, Madzlan Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian jam 9.10 pagi dan tiba di lokasi 10 minit kemudian.

Beliau berkata, sebaik tiba di lokasi, seorang kelindan lori didapati tersepit dalam sebuah lori manakala pemandu lori, pemandu bas serta 16 penumpang tidak cedera.

"Anggota bomba mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan khas dalam masa kira-kira 10 minit.

"Operasi disertai 17 anggota bersama sebuah jentera bomba dan Jentera Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS) dari BBP Simpang Pulau selain dibantu sebuah jentera dari BBP Ipoh," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Katanya, mangsa kemudian dihantar ke hospital berhampiran untuk mendapatkan rawatan dan operasi tamat jam 9.47 pagi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Oktober 2017 @ 3:27 PM