DR Abdul Rashid
Mahaizura Abd Malik
am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Sebuah Pusat Khidmat Sehenti Maya TVET perlu dibangunkan bagi memastikan kepakaran semua bekas pelatih pusat pendidikan teknikal dan latihan vokasional (TVET) dimanfaatkan sebaik-baiknya sekali gus mengurangkan kebergantungan negara kepada pekerja asing.

Timbalan Ketua Kluster Pendidikan dan Pembangunan Modal Insan Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Datuk Dr Abdul Rashid Mohamed berkata, hala tuju bekas pelatih TVET dilihat masih terumbang-ambing biarpun kerajaan melaburkan banyak peruntukan bagi membina pusat latihan TVET di negara ini.

“Kita mempunyai ramai bekas pelatih TVET yang mahir dalam bidang masing-masing tetapi sayangnya di mana mereka ini apabila khidmatnya diperlukan sedangkan pada masa sama, kita lihat banyak sektor kerja dipelopori warga asing yang tidak terlatih melakukan pekerjaan.

“Justeru, adalah lebih baik kerajaan menyediakan satu mekanisme dengan membina aplikasi ini yang berfungsi seperti Uber dan Grab bagi membantu lebih ramai bekas pelatih TVET yang mungkin masih tiada hala tuju pada masa ini.

“Melalui aplikasi ini, segala perkhidmatan daripada tukang urut hingga membaiki kenderaan boleh diperoleh dan caj dikenakan lebih murah berbanding perkhidmatan di premis,” katanya.

Katanya, beliau berharap kerajaan dapat mempertimbangkan perkara itu dalam Bajet 2018 berikutan pembinaan aplikasi sehenti ini perlu disegerakan supaya negara tidak kerugian.

“Sebagai permulaan, saya mencadangkan kerajaan membina aplikasi ini di peringkat parlimen berikutan semua data mudah diperoleh dari bahagian itu.

“Selepas semua data pelatih TVET dikumpul, mereka boleh didaftarkan dalam aplikasi berkenaan untuk menawarkan khidmat kepakaran di kawasan masing-masing.

“Apabila aplikasi ini dilaksanakan, saya percaya kita dapat mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing,” katanya.

serta membantu meningkatkan taraf hidup generasi muda kita,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Oktober 2017 @ 8:01 AM