ZAMBRI
Mahaizura Abd Malik
mahaizura@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Polisi pengecualian bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bagi peminjam sarjana muda yang memperoleh kelas pertama perlu dikaji semula.

Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Zambri Mohd Isa berkata, pihaknya memohon supaya kerajaan mengkaji semula polisi berkenaan supaya bantuan diberikan lebih bersasar kepada kumpulan pelajar memerlukan terutama daripada keluarga berpendapatan rendah (B40).

“Buat masa ini, polisi sedia ada memberikan keistimewaan kepada semua peminjam yang memperoleh kelas pertama dalam sarjana muda tanpa mengambil kira latar belakang pendapatan keluarga mereka.

“Justeru, kami mohon polisi ini dikaji semula supaya graduan yang memperoleh keputusan kelas pertama daripada kalangan keluarga B40 dan miskin diberi keutamaan 100 peratus penukaran pinjaman kepada biasiswa (pengecualian bayaran balik).

“Manakala graduan daripada kalangan berpendapatan tinggi yang memperoleh keputusan sama hanya diberikan 50 peratus diskaun bagi keseluruhan pinjaman sebagai ganjaran kepada mereka,” katanya, semalam.

Menurutnya, pelaksanaan kaedah ini lebih menjimatkan dan kerajaan boleh menggunakan lebihan wang daripada perubahan polisi itu untuk keperluan lain dalam membantu rakyat.

Pada masa sama, GPMS turut mengusulkan supaya kerajaan menyediakan peruntukan khas kepada sekolah uzur dan daif yang perlu dibaik pulih bagi mengelakkan kejadian tidak diingini seperti kemalangan mahupun kebakaran.

“Kita percaya masih ada sekolah uzur dan kemudahan rosak perlu dibaiki segera,” katanya.

“Harapan kami, kerajaan dapat menyediakan lebih peruntukan dalam bajet kali ini kepada sekolah berkenaan bagi mengelakkan kes yang tidak diingini seperti kebakaran berpunca daripada litar pintas serta runtuhan kesan infrastruktur uzur,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Oktober 2017 @ 7:59 AM