ANTARA kapal pesisir yang ditahan APMM.
Norzamira Che Noh
am@hmetro.com.my


Pelabuhan Klang: Tindakan tiga kapal pesisir berlabuh tanpa kebenaran mengundang padah apabila ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) kira-kira 0.4 batu nautika dari daratan Sepat Lumut, dekat sini, kelmarin.

Pengarah Maritim Daerah Klang Kepten Maritim Abu Zaki Mohammad berkata, kapal itu ditahan susulan maklumat diterima Jabatan Laut Wilayah Tengah pada jam 2.15 petang.

“Berdasarkan aduan itu, ketiga-tiga kapal berkenaan disyaki berlabuh tanpa kebenaran oleh pihak berkuasa.

“Hasil pemeriksaan lanjut kemudian menemui seramai 18 kru kapal warga China dan seorang warga Indonesia berusia 29 hingga 58 tahun,” katanya di sini, semalam.

Menurut beliau, semua kru dan kapal itu dibawa ke jeti Pelabuhan Klang bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Ordinan Perkapalan Saudagar 1952,” katanya.

Kata Abu Zaki, APMM akan terus meningkatkan pemantauan dan penguatkuasaan di perairan negara terutama di Selangor.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai aktiviti jenayah di laut diminta menghubungi talian 24 jam MERS 999 untuk tindakan lanjut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Oktober 2017 @ 5:20 AM