Nur Saliawati Salberi
nursaliawati@hmetro.com.my


LELAKI yang bekerja sebagai penjaga kaunter tiket dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, Melaka Tengah, hari ini atas tuduhan melakukan gangguan seksual ke atas kanak-kanak.

Tertuduh Muhammad Amin Abd Kadir, 19, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas faham pertuduhan dikenakan keatasnya tang dibaca jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Norma Ismail.

Mengikut pertuduhan, Muhammad Amin didakwa melakukan amang seksual fizikal dengan menyentuh bagi maksud seksual bahagian kemaluan mangsa yang berusia tujuh tahun.

Justeru, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Perbuatan itu, didakwa dilakukan tertuduh di dalam tandas lelaki, Melaka Sentral, Ogos lalu.

Pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya Shazreen Nadia Saaban, mencadangkan tertuduh tidak ditawarkan jaminan namun keputusan itu bergantung kepada budi bicara mahkamah.

Peguam bela tertuduh Sheikh Ikhzan Sheikh Salleh, merayu mahkamah menawarkan jaminan rendah kepada anak guamnya yang mempunyai masalah mental selain meminta lelaki itu dirujuk kepada pakar psikiatri.

Selepas mendengar hujah kedua-dua belah pihak, Norma kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM15,000 selain memberi amaran kepada lelaki itu supaya tidak mendekati mangsa mahu pun saksi atau jaminan akan ditarik balik.

Selain itu, Norma turut memerintahkan tertuduh dihantar untuk menjalani pemeriksaan pakar psikiatri dan menetapkan 6 November depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Oktober 2017 @ 7:47 PM
TERTUDUH (kiri) diiringi anggota polis keluar dari mahkamah selepas mengaku tidak bersalah. FOTO Muhammad Zuhairi Zuber