Tuan Mohd (kiri) keluar dari Mahkamah Sesyen selepas didenda RM30,000, hari ini. FOTO Mohd Syafiq Ridzuan Ambak
Zatul Iffah Zolkiply
zatuliffah@hmetro.com.my


SEORANG lelaki dijatuhi hukuman denda RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, hari ini, kerana menyimpan seekor anak beruang matahari (Helarctos Malayanus) di rumahnya.

Tertuduh, Tuan Mohd Tuan Abd Samad, 51, turut berdepan hukuman penjara selama setahun sekiranya dia gagal menjelaskan denda berkenaan.

Keputusan itu dibuat Hakim Mohamad Haldar Abdul Aziz selepas Tuan Mohd mengaku bersalah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 69 (1) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).

Mengikut pertuduhan, Tuan Mohd didakwa menyimpan seekor anak beruang iaitu sejenis hidupan liar dilindungi sepenuhnya yang disenaraikan di dalam Jadual Kedua, Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) tanpa permit khas di rumahnya di Kampung Tapah, Kuala Berang, Hulu Terengganu, pada 12.45 tengah hari, 24 Julai lalu.

Sementara itu, di mahkamah sama, seorang lelaki dikenakan denda RM15,000 selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan menyimpan dua burung daun sayap biru (Chloropsis Cochinchinnensis) tanpa permit sah dan menyimpan sebahagian daging pelanduk tanpa lesen.

Dalam pertuduhan pertama, Mohd Rozi Deraman, 44, didakwa menyimpan dua burung daun sayap biru tanpa permit khas iaitu sejenis hidupan liar yang dilindungi sepenuhnya yang disenaraikan di dalam Jadual Kedua, Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).

Dia mengaku salah melakukan perbuatan itu di sebuah rumah bot di kawasan Sungai Lawit, Tasik Kenyir, Hulu Terengganu, pada 8.37 pagi, 19 Julai 2015.

Selain itu, Mohd Rozi turut mengaku salah menyimpan sebahagian daging pelanduk tanpa lesen di lokasi, waktu dan tarikh sama.

Bagi pertuduhan pertama, mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM10,000 manakala denda RM5,000 bagi pertuduhan kedua.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Terengganu Ayub Daud.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Oktober 2017 @ 6:09 PM