ANGGOTA polis mengawal sebahagian daripada 20 yang dipercayai ahli Geng Pak Su selepas mendapat perintah tahanan mengikut SOSMA di Mahkamah Sesyen, semalam.
HM Digital

Alor Setar: Seramai 20 lelaki didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, semalam atas pertuduhan menganggotai kumpulan jenayah terancang Geng Pak Su yang terbabit dalam aktiviti penyeludupan di kawasan sempadan Malaysia-Thailand sejak dua tahun lalu.

Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan dibuat sebaik pertuduhan dibacakan terhadap mereka secara berasingan di hadapan Hakim Amernudin Ahmad.

Mereka iaitu Fairus Hafiz Mohd Yusoff, 24, M Murugan, 36, Rosli Ariffin, 40, Sariman Idris, 42, Mohd Norhizam Zamzuri, 29, Faizol Sobri Romli, 29, Amirul Ashraf Hussain, 20, Muhamad Ashraf Aziz, 23, Faizal Azlyshah Romli, 33, Aziz Othman, 56, Muhamad Asrun Amir Hussain, 23, Muhammad Luqman Hakim Zainal, 18, Nur Arif Norzaidi, 19, Muhamad Amir Daud, 22, Norhasrul Izwan Noraini, 33, dan Joni Yakub, 37, didakwa menjadi ahli kumpulan jenayah terancang Geng Pak Su antara tempoh 1 Januari 2015 sehingga 11 September lalu.

Manakala empat individu lain ialah Zamzuri Aziz, 22, Shamsol Long, 45, Muhammad Khairul Azhar Ghazali, 21, dan Mohamad Rozaidi Sabu, 26, didakwa menjadi ahli kumpulan jenayah sama antara tempoh 1 Januari 2015 sehingga 13 September lalu.

Mereka didakwa mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) 2012 dan Seksyen 130 (V) Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak melebihi 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Prosiding dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Saiful Edris Zainuddin dan Mohd Izhanudin Alias, sementara seorang tertuduh iaitu Aziz diwakili peguam G Ravi Shankar.

Mahkamah tidak membenarkan semua tertuduh diikat jamin berikutan kes berkenaan termasuk dalam jadual pertama Akta SOSMA 2012 dan menetapkan sebutan semula pada 20 November ini.

Harian Metro pada 27 September lalu melaporkan empat lelaki termasuk ketua kumpulan Geng Pak Su mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Alor Setar atas pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang yang terbabit dalam kegiatan penyeludupan termasuk pemerdagangan manusia di kawasan sempadan Malaysia-Thailand sejak dua tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Oktober 2017 @ 5:40 AM