KEADAAN kereta mangsa yang tersangkut di tembok Klinik Kesihatan Changlun, kelmarin.
HM Digital

Changlun: Seorang penuntut Universiti Utara Malaysia (UUM) terselamat selepas kereta dipandunya ‘terbang’ dan tersangkut di tembok Klinik Kesihatan Changlun, di sini, kelmarin.

Kejadian berlaku jam 9.50 pagi menyebabkan suasana gempar kepada pesakit yang menunggu giliran mendapatkan rawatan serta kakitangan klinik.

Difahamkan, kejadian berlaku apabila pemandu berusia 21 tahun panik menyebabkan kereta Perodua Bezza dipandunya hilang kawalan lalu terbabas merempuh tembok klinik ketika membelok.

Menurut sumber Jabatan Pejabat Pembangunan Pelajar dan Alumni UUM, penuntut terbabit dalam perjalanan ke klinik itu bagi menjalani rawatan fisioterapi.

“Penuntut jurusan Matematik Perniagaan yang berasal dari Subang Jaya, Selangor itu, bagaimanapun tidak cedera,” katanya.

Sementara itu, saksi, Nor Azila Ahmad, 28, berkata, ketika kejadian dia menemani ibunya, Chempawan Kamis, 66, menunggu giliran untuk berjumpa doktor dan tiba-tiba keadaan kelam-kabut selepas terdengar dentuman kuat di luar.

“Orang ramai termasuk kakitangan klinik bergegas keluar melihat apa yang berlaku dan melihat kereta tersangkut di tembok pagar klinik ini.

“Pemandunya tidak berada di dalam kereta kerana difahamkan diselamatkan orang ramai,” katanya.

Kejadian itu tular di media sosial apabila beberapa gambar dimuat naik dan dikongsikan netizen melalui Facebook, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Oktober 2017 @ 4:04 AM