Anggota polis membawa keluar mayat pencuci rumah sambilan yang maut dibunuh anak tuan rumah di Kampung Tersusun Tasik, Ipoh. FOTO Muhaizan Yahya
Mohd Hafizee Mohd Arop
am@hmetro.com.my


PENCUCI rumah sambilan warga Indonesia berusia 40-an maut dibunuh anak kepada tuan rumah ketika dia sedang melakukan kerja pembersihan di rumah berkenaan di Kampung Tersusun Tasik, Bercham, Ipoh, kira-kira 3 petang hari ini.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, suspek berusia 34 tahun datang sendiri ke Balai Polis Bercham pada 3.30 petang dan memberitahu dia sudah membunuh seorang wanita yang datang untuk mencuci rumah.

Menurutnya, polis bergegas ke lokasi kejadian dan sebaik tiba menemui mayat wanita dalam keadaan terlentang lengkap berpakaian di kawasan antara ruang tamu dan dapur di rumah berkenaan.

Katanya, pemeriksaan mendapati mangsa mengalami kecederaan di muka, belakang badan dan tiga jarinya putus dipercayai ditetak menggunakan parang.

"Siasatan awal mendapati mangsa datang ke rumah berkenaan untuk melakukan kerja pembersihan selepas dipercayai dipanggil oleh keluarga suspek dan ketika kejadian hanya suspek bersama mangsa berada di dalam rumah berkenaan.

"Suspek sudah ditahan manakala senjata iaitu parang sudah ditemui di luar rumah dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Chang Keong berkata, berdasarkan maklumat daripada ahli keluarga suspek, dia dipercayai mempunyai masalah mental namun perkara itu hanya boleh disahkan selepas pemeriksaan kesihatan dijalankan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Oktober 2017 @ 7:45 PM