Dr Hilmi (tengah) bersama Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri Pulau Pinang Zubaidah Che Embee (kanan) ketika hadir merasmikan Majlis Perasmian Bulan Psikologi Kaunseling Peringkat Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang di Kompleks Tun Abdul Razak, Georgetown, hari ini. FOTO AMIR IRSYAD OMAR
Siti Sofia Md Nasir
am@hmetro.com.my


KEMENTERIAN Kesihatan menafikan memberi sokongan terhadap individu yang menjalankan perkhidmatan perniagaan pendakap gigi palsu seperti yang didakwa pihak tertentu, baru-baru ini.

Timbalan Menterinya Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya berkata, pihaknya dan mana-mana anggota pentadbiran tidak pernah menyokong atau berkompromi dengan individu yang jelas melanggar peraturan negara.

"Tidak, saya tidak kenal wanita itu secara peribadi dan tidak mempunyai wang yang banyak untuk membantu menjamin beliau daripada kesalahannya.

"Namun saya mengakui sebelum ini ada wakil daripada wanita itu datang untuk memohon bantuan saya tetapi saya tidak mencampuri urusannya apabila kes ini sudah dibawa ke mahkamah," katanya pada sidang media selepas merasmikan Hari Psikologi Kaunseling peringkat negeri di Kompleks Tun Abdul Razak, Georgetown, hari ini.

Sebelum ini, tular di media sosial apabila seorang doktor gigi palsu yang dijatuhi hukuman denda RM70,000 pada 29 September lalu mendakwa perniagaannya mendapat sokongan daripada Kementerian Kesihatan.

Nur Farahanis Ezatty Adli, 20, yang sepatutnya menjalani hukuman penjara enam bulan kerana gagal membayar denda itu memuat naik ucapan penghargaan kepada Dr Hilmi dan pihak kementerian sebaik pembebasannya.

Dia yang berasal dari Alor Setar, Kedah dibebaskan dengan bantuan Persatuan Pengguna Islam Malaysia dan Persatuan Penggiat Ekonomi Malaysia melalui kutipan derma orang ramai.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Oktober 2017 @ 4:00 PM