Pelajar menjawab kertas soalan Bahasa Melayu pada hari pertama PT3 di Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Setiawangsa. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Faliq Lajim
am@hmetro.com.my


SERAMAI 75,578 calon menduduki ujian bertulis Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) di 327 pusat peperiksaan di Selangor bermula hari ini sehingga Khamis depan.

Pengarah Pendidikan Selangor, Mohd Salleh Mohd Kassim berkata, jumlah itu menurun berbanding tahun lalu dengan 76,850 pelajar.

"Daripada jumlah tahun ini, seramai 72,377 pelajar daripada sekolah kerajaan dan bantuan kerajaan. Bagi calon swasta pula seramai 3,036 pelajar manakala untuk calon persendirian 165 calon.

"Tahun ini, 249 pelajar adalah Calon Berkeperluan Khas (CBK) dengan 100 daripadanya mempunyai masalah pembelajaran, masalah pendengaran (55), rabun (12), bisu (dua), masalah penglihatan (seorang) dan 54 calon mempunyai masalah kecacatan lain," katanya ketika ditemui selepas membuat pemantauan di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Seksyen 2, Shah Alam, hari ini.

Beliau berkata, setakat hari ini tiada calon di negeri itu mengambil ujian PT3 di hospital berikutan ia tidak sama seperti peperiksaan lain.

"Calon yang sakit boleh mohon untuk tangguh membuat ujian bertulis apabila kembali ke sekolah semula dengan kebenaran pengetua di sekolah masing-masing sehingga 31 Oktober ini," katanya.

Mohd Salleh berkata, ujian PT3 pada tahun ini membabitkan sebanyak 327 pusat peperiksaan.

Menurutnya, 226 pusat adalah daripada sekolah kerajaan dan bantuan kerajaan, 55 pusat sekolah swasta manakala 11 lagi pusat persendirian.

"Setiap pusat mempunyai ketua pengawas dan timbalan ketua pengawas yang dilantik.

"Manakala pengawas akan dilantik mengikut sekolah masing-masing," katanya.

Beliau berkata, daripada semua calon itu daerah Petaling Perdana, Hulu Langat, Klang dan Gombak mempunyai calon tertinggi berikutan mempunyai bilangan sekolah tertinggi dan pelajar yang ramai.

"Daerah Hulu Langat mencatatkan calon tertinggi menduduki PT3 iaitu 13,973 pelajar diikuti Petaling Perdana (13,900) dan Klang (12,663) serta Gombak (10,502)," katanya.

Dalam pada itu, Mohd Salleh berkata, seramai 191 calon mengambil peperiksaan di sekolah SMK Sultan Salahuddin Abdul Aziz dengan 28 adalah calon persendirian.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Oktober 2017 @ 11:57 AM