KEADAAN rumah yang dijadikan tempat menyimpan barang lusuh di Taman Tas.
Asrol Awang
am@hmetro.com.my


Kuantan: “Saya sudah tidak tahan lagi melihat keadaan itu (timbunan barang lusuh) di rumah jiran kerana ia berlarutan sembilan tahun sejak saya tinggal di sini.

“Pada mulanya keadaan rumah itu biasa saja kerana kebanyakan barangan kitar semula diletakkan dalam rumah tetapi ia semakin banyak sehingga kami berasa tidak selesa,” kata Aziz Deraman, 48, yang tinggal di Taman Tas, di sini.

Aziz berkata, disebabkan barangan lusuh seperti botol kaca dan plastik serta batang besi dilonggokkan, ia menyebabkan bau kurang menyenangkan.

Beliau berkata, keadaan itu menyebabkan kehadiran tikus dan menjadi kawasan pembiakan nyamuk aedes yang mencetuskan ketidakselesaan di kawasan persekitaran taman.


KEADAAN rumah yang dijadikan tempat menyimpan barang lusuh di Taman Tas.

Katanya, apa membimbangkan kes demam denggi yang melanda Taman Tas ketika ini, sekali gus mencetuskan kegusaran.

“Saya mengharapkan pihak berkuasa tempatan (PBT) mengambil tindakan terhadap pemilik rumah itu,” katanya.

Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) Datuk Fadzilla Salleh berkata, pihaknya akan mengambil tindakan terhadap pemilik rumah berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Oktober 2017 @ 11:06 AM