AHMAD Zahid beramah mesra dengan orang ramai pada Majlis Penyampaian Sumbangan Deepavali 2017 kawasan Parlimen Bagan Datuk, semalam.
Wan Asrudi Wan Hasan
wanasr@hmetro.com.my


Hutan Melintang: Penangkapan lapan individu terbabit dalam kegiatan militan Daish, Jumaat lalu adalah disebabkan ada unsur mahu mencetuskan kegelisahan sosial dalam kalangan rakyat pelbagai agama di negara ini.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kumpulan berkenaan seperti mahu memberi gambaran bahawa Malaysia tidak mengamalkan kebebasan beragama.

Beliau berkata, ia tindakan susulan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi membanteras elemen keganasan di negara ini.

“Ada kumpulan mahu memporak-perandakan keharmonian beragama di negara kita dengan mahu membakar dan merosakkan rumah ibadat.

“Tindakan ini bertujuan memberikan gambaran bahawa Malaysia adalah negara yang tidak mengamalkan kebebasan beragama dan isu ini harus ditangani PDRM kerana kita mahu kekalkan kedudukan keharmonian beragama di negara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan Deepavali kepada 800 masyarakat miskin kaum India di Parlimen Bagan Datuk, di sini, semalam.

Beliau mengulas kejayaan PDRM menggagalkan cubaan merekrut banduan di Penjara Tapah untuk menjadi militan selepas menahan dua bekas tahanan penjara itu.

Kelmarin, Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, mereka disyaki merekrut banduan untuk melancarkan serangan ke atas rumah ibadat orang Islam, Kristian dan Hindu bagi mencetuskan konflik antara kaum.

Seorang daripada suspek berusia 53 tahun yang baru dibebaskan dari penjara ditangkap semula untuk siasatan mengikut Akta Pencegahan Keganasan (POTA) selain disyaki melindungi maklumat mengenai seorang anggota Tandzim Al Qaeda Malaysia yang dikehendaki polis.

Kedua-dua mereka antara lapan individu termasuk tiga warga asing ditahan dalam operasi di Selangor, Sabah dan Perak bermula 27 September hingga Jumaat lalu kerana disyaki terbabit dalam aktiviti keganasan.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, ketika ini maklumat kegiatan merekrut banduan bersabit elemen pengganas hanya dikesan di Penjara Tapah dan belum bagi penjara lain.

Katanya, sebelum ini ada dikesan banduan POTA dan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (SOSMA) 2012 bukan saja cuba merekrut banduan lain, malah tujuh warder dalam penjara namun warder berkenaan menjalani hukuman pemulihan oleh Lembaga Penasihat POTA.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Oktober 2017 @ 9:36 AM