Siti Salmiah A Hamid
salmiah@hmetro.com.my


LEMBAGA Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) menerusi Bajet 2018 memohon kerajaan untuk memperbanyakkan pusat penyimpanan segar beku untuk dikendalikan Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT).

Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Datuk Sri Dr Irmohizam Ibrahim berkata, usaha berkenaan membolehkan stok ikan segar sentiasa berada di pasaran bagi menampung permintaan orang ramai.

"Permintaan terhadap makanan laut semakin meningkat terutama dalam kalangan masyarakat bandar. Sudah sampai masanya kerajaan pertimbangkan permintaan LKIM agar lebih banyak pusat pengumpulan diperluaskan.

"Kewujudan pusat pengumpulan bukan saja bagi menampung keperluan masyarakat terhadap makanan laut malah mengurangkan kos sara hidup kerana dijual pada harga yang berpatutan dan menangani masalah orang tengah," katanya pada Program Jom Makan Ikan yang juga antara kempen mengurangkan kos sara hidup di Saujana Utama 3, hari ini.

Katanya, kewujudan orang tengah turut mencorakkan harga sumber makanan itu yang dijual pada harga tinggi sekaligus membebankan rakyat.

"Perjuangan menentang orang tengah bukan saja dipertanggungjawabkan kepada LKIM dan kerajaan malah ia perlu dilakukan dengan kerjasama daripada semua pihak.

"Inisiatif untuk mengekang orang tengah ini mampu dilakukan dengan menjual produk NEKMAT secara terus kepada pengguna melalui koperasi," katanya.

Kata Irmohizam, program hari ini contoh terbaik koperasi yang terbabit bagi mengurangkan kos sara hidup yang tinggi menerusi penjualan ikan sejuk beku segar yang dibekalkan NEKMAT.

Beliau juga menyeru semua pihak terutama koperasi agar bekerjasama dengan NEKMAT menjual ikan sejuk beku segar.

Pada program berkenaan, sebanyak tiga tan ikan segar seperti kembung, tenggiri dan senangin serta satu tan ikan segar beku ‘Q-Fish’ dijual kepada orang ramai dengan potongan harga sehingga 50 peratus.

Program yang menarik lebih daripada 100 pengunjung itu, menawarkan pelbagai jenis ikan segar dari serendah RM6 sekilogram bagi ikan cencaru atau RM25 sekilogram bagi ikan merah.

FOTO Mohamad

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Oktober 2017 @ 8:16 PM
ORANG ramai memilih ikan segar yang dijual dengan potongan harga sehingga 50 peratus pada Program Jom Makan Ikan. FOTO Muhammad Sulaiman