Rosliza Mohamed
am@hmetro.com.my


JURUJUAL lelaki di Gua Musang kerugian RM70,000 selepas diperdaya sindiket Macau Scam yang menggunakan taktik dengan menyamar sebagai anggota polis dan kakitangan syarikat kewangan, Julai lalu.

Mangsa berusia 36 tahun membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang, pada 30 September lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Kelantan Superintendan Mohamed Zulmazi Che Daud, berkata dalam kejadian itu mangsa mendakwa menerima panggilan daripada individu yang bekerja di syarikat kewangan.

Katanya, individu lelaki itu bertanyakan mengenai kad kredit yang pernah digunakan mangsa di pusat membeli belah sebanyak RM4,000 pada 5 Julai lalu di Kuala Lumpur.

"Selepas itu mangsa menerima panggilan daripada seorang lelaki memberitahu sebagai Inspektor Wong untuk memberi nasihat berhubung akaun bank itu dengan alasan bagi menolong mangsa.

"Mangsa kemudian mengikut arahan individu terbabit dengan memasukkan wang hampir RM70,000 ke dalam satu akaun bank lain yang diberikan untuk menyelesaikan masalah itu.

"Mangsa yang menyedari ditipu, kemudian membuat laporan polis untuk tindakan lanjut ," katanya di Kota Bharu hari ini

Menurutnya, ini taktik terbaru dilakukan sindiket terbabit untuk memperdayakan mangsa dengan pelbagai alasan.

"Siasatan lanjut masih dilakukan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Oktober 2017 @ 7:37 PM