MANGSA ditemui lemas kira-kira 300 meter dari lokasi terjatuh. FOTO ihsan Bomba
Fuad Hadinata Yaacob
hadinata@hmetro.com.my


LELAKI ditemui lemas selepas terjatuh ke dalam laut di Tanjung Harapan, Pelabuhan Klang, hari ini.

Kejadian berlaku kira-kira 7 pagi tadi ketika mangsa bersama dua anak lelaki dan seorang anak saudara berusia 20-an.

Ketua Cawangan Pengurusan Operasi dan Balai Jabatan Bomba Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Alimaddia Bukri berkata, mangsa dari Flat Sri Perantau, Pelabuhan Klang mengunjungi kawasan itu pada 6 pagi sebelum mereka ke laut untuk mandi kira-kira sejam kemudian.

"Mangsa dipercayai terjatuh ketika hendak mandi di situ dan ketika kejadian air laut pasang.

"Anak mangsa cuba menariknya namun tidak berjaya sebelum mereka menghubungi pasukan penyelamat," katanya.

Menurutnya, bomba menerima panggilan pada 7.31 pagi dan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pelabuhan Klang dan Shah Alam melakukan operasi mencari dan menyelamat.

Alimaddia berkata, mangsa ditemui pada 10.03 pagi di atas batu kira-kira 300 meter dari lokasi mangsa terjatuh.

Beliau berkata, mayat dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Oktober 2017 @ 7:18 PM