Restoran makanan segera 24 jam yang disamun seorang lelaki dipercayai menggunakan pistol, awal pagi, hari ini. - Foto Ihsan Pembaca
Nur Saliawati Salberi
nursaliawati@mediaprima.com.my


SEBUAH restoran makanan segera di pekan Alor Gajah, Melaka, kerugian lebih RM13,000 akibat disamun seorang lelaki dipercayai bersenjatakan pistol, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 4.30 pagi itu, lelaki berkenaan yang memakai topi keledar bertutup penuh meluru masuk ke dalam bilik pengurus berhampiran kaunter.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Asisten Komisioner Kamaluddin Kassim berkata, suspek dikatakan menggunakan senjata menyerupai pistol yang diacu ke arah penolong pengurus premis berusia 25 tahun.

Beliau berkata, suspek mengarahkan wanita terbabit menyerahkan wang berjumlah RM13,130 sebelum melarikan diri.

“Ketika kejadian, penolong pengurus dikatakan sedang mengeluarkan wang jualan dari peti besi untuk dikira apabila suspek meluru masuk.

“Selain mangsa, ada empat lagi pekerja termasuk seorang wanita di luar bilik pengurus dan dua pelanggan,” katanya.

Beliau berkata, usaha mengesan suspek kini sedang giat dijalankan dan polis sedang meneliti rakaman CCTV.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 392 dan 397 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Oktober 2017 @ 7:11 PM