ANGGOTA polis melakukan siasatan di bank yang dirompak.
Siraj Mohd Zaini
siraj@hmetro.com.my

Shah Alam: Penjenayah bersenjatakan pistol melarikan wang tunai RM58,000 dalam rompakan di sebuah bank di Kota Kemuning, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 3 petang, penjenayah solo terbabit melepaskan satu das tembakan ke arah siling dan meminta pekerja kaunter memasukkan wang ke dalam beg dibawanya.

Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Shafien Mamat berkata, ketika kejadian tiada pelanggan di dalam bank dan suspek melarikan diri selepas wang dimasukkan ke dalam beg.

“Suspek dipercayai lelaki tempatan dan bersenjata kerana polis menemui satu peluru hidup dan satu kelongsong peluru.

“Tiada kecederaan dilaporkan dan suspek melarikan diri ke seberang jalan sebelum hilang dari pandangan,” katanya.

Beliau berkata, polis meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan usaha menjejaki suspek giat dijalankan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan iaitu samun bersenjata.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Oktober 2017 @ 6:33 AM