Allahyarham Che Harun Muda (kiri) meninggal dunia sebaik menerima cenderahati. FOTO Rosli Ilham
Rosli Ilham
am@hmetro.com.my


PENGERUSI Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (J3K) Seberang Pintasan, Dungun, meninggal dunia sejurus menerima cenderahati pada Majlis Penutup Program Anak Angkat di Dewan Sivik kampung berkenaan, hari ini.

Difahamkan, sebaik mangsa, Che Harun Muda, 59, menerima cendera hati itu, dia tiba-tiba rebah dan tidak sedarkan diri, kira-kira 4.30 petang.

Saksi kejadian, Mohamad Armi Hitam berkata, beberapa hari sebelum kejadian, arwah terbabit dalam Majlis Penyerahan Anak Angkat dari Universiti Sultan Azlan Shah Kuala Kangsar, Perak selama tiga hari bermula Khamis lalu.

"Kejadian berlaku ketika arwah yang juga Pengerusi Pusat Daerah Mengundi kawasan terbabit naik ke pentas untuk bersama tetamu kehormat menyampaikan sijil kepada peserta.

"Bagaimanapun, sebaik arwah menerima cenderahati daripada wakil universiti, dia tiba-tiba rebah dan tidak sedarkan diri," katanya yang juga EXCO Pemuda UMNO Bahagian Dungun.

Mohamad Armi berkata, arwah kemudiannya dikejarkan ke Hospital Dungun namun disahkan meninggal dunia.

"Arwah sebelum ini menghidap penyakit jantung dan sering membuat rawatan susulan di Hospital Dungun," katanya.

Menurutnya, arwah meninggalkan seorang balu bersama empat anak dan pemergiannya satu kehilangan besar kepada penduduk kampung.

"Arwah seorang pemimpin yang baik dan prihatin terhadap masyarakat dan suka membantu penduduk tanpa mengira fahaman politik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Oktober 2017 @ 11:50 PM