Mohamad Redzuan meninggal dunia akibat kecederaan parah. FOTO Ihsan Polis.
Amirul Aiman Hamsuddin
am@hmetro.com.my


REMAJA lelaki berusia 13 tahun maut selepas Yamaha Y110 ditunggangnya merempuh Honda Civic di Jalan Ladang Air Manis, Sabak Bernam, 1 tengah hari, hari ini.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam Superintendan Nor Azmi Isa berkata, Mohamad Redzuan Mustapha disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah manakala pemandu Honda Civic yang juga lelaki berusia 51 tahun cedera ringan di dahi.

“Siasatan awal mendapati, mangsa dari arah Sungai Besar menghala ke Sungai Air Tawar manakala pemandu kereta dari arah Sungai Air Tawar menghala ke Sungai Besar.

“Tiba di lokasi, mangsa cuba memotong kenderaan di depannya sebelum terbabas dan merempuh bahagian depan Honda Civic,” katanya.

Nor Azmi berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) Sabak Bernam untuk bedah siasat.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Kemalangan turut menyebabkan motosikal mangsa terbakar.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Oktober 2017 @ 5:59 PM