(DARI kiri) Rosli, Jalil, Nazlee dan Othman ketika pelepasan HM Mountain Bike Grand Prix 2017. FOTO Rozainah Zakaria
PESERTA mula kayuhan pada kejohanan HM Mountain Bike Grand Prix 2017. FOTO Rozainah Zakaria
Zatul Iffah Zolkiply dan Rosli Ilham
am@hmetro.com.my


KEJOHANAN berbasikal lasak Harian Metro Mountain Bike Grand Prix (HMMTB) 2017 yang diadakan di Kerteh, hari ini, disertai lebih 1,000 peserta.

Perlumbaan basikal lasak yang membabitkan laluan sejauh 38 kilometer itu bermula di Jalan Ilmu, Sekolah Kebangsaan (SK) sebelum ke garisan penamat di lokasi sama.

Majlis pelepasan disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Tenaga dan Teknologi Hijau Terengganu merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemasik, Ir Rosli Othman.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif The New Straits Times Press (M) Berhad, Datuk Abdul Jalil Hamid; Ketua Pegawai Eksekutif Affin Islamic Bank Berhad, Nazlee Khalifah dan

Pengarang Eksekutif Rencana dan Pengeluaran Harian Metro, Othman Mamat.

Othman berkata, pemilihan Kerteh sebagai lokasi siri kedua HMMTB tahun ini dibuat atas permintaan ramai di Pantai Timur, selain sempena Visit Beautiful Terengganu tahun ini.

"Trek kali ini dijangka mencabar daripada segi kemahiran mengemudi dan teknikal peserta yang pada keseluruhannya dijangka akan mengambil masa antara dua hingga empat jam mengikut tahap ketahanan dan kemahiran masing-masing.

"Pelbagai rintangan ‘off-road’ termasuk laluan berbukit, berair, cerunan curam, batu batan dan laluan sempit bakal ditempuh oleh peserta yang pastinya mencabar stamina dan kelebihan dalam mengendalikan basikal di sepanjang laluan," katanya selepas melepaskan peserta kejohanan di Kerteh hari ini.


(DARI kiri) Rosli, Jalil, Nazlee dan Othman ketika pelepasan HM Mountain Bike Grand Prix 2017. FOTO Rozainah Zakaria

Majlis sama turut diserikan dengan kehadiran Ketua Pegawai Komersial NSTP, Alfian Abu Talib; Pengurus Besar Pengiklanan NSTP (M) Berhad, Jeannie Leong; Guru Besar SK Kerteh, Mohd Rozi Hamid; Pengurus Komunikasi Korporat Tesco Stores (Malaysia) Sdn Bhd, Siti Aniza Abdul Rahman; Pengurus Besar Penjenamaan Universal Fitness & Leisure Sdn Berhad (UFL) dan Pembangunan Jenama Deuter, Ahmad Termizi Mahmud; serta Pengurus Pembangunan Perniagaan Serantau, LeRun Industries Sdn Bhd, Marcus Leong.

Kejohanan itu membabitkan tiga lokasi bagi merancakkan aktiviti sukan berbasikal tempatan.

Sebanyak lima kategori dipertandingkan iaitu Lelaki Junior (19 tahun ke bawah), Lelaki Terbuka (20 hingga 35 tahun), Lelaki Junior Master (36 hingga 44 tahun), Lelaki Senior Master (45 tahun ke atas) dan Terbuka Wanita.

HMMTB mendapat kerjasama daripada Affin Bank Group sebagai penaja utama selain beberapa rakan penaja lain seperti Honda Malaysia Sdn Bhd, Polygon, Deuter, Demak, Tesco Stores (Malaysia) Sdn Bhd,Julies Biscuits, Mamee Double-Decker, Isuzu Malaysia dan Resort World Kijal.

Turut memberi kerjasama adalah Majlis Perbandaran Kemaman, Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman, SK Kerteh, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Jabatan Pengangkutan Jalan, Syarikat Air Terengganu,  Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Jabatan Kesihatan Daerah Kemaman.

Sebelum ini kejohanan sama siri pertama diadakan di Bukit Merah Laketown Resort pada 29 Julai lalu dan siri ketiga akan diadakan lada 2 Disember depan di Sungai Buaya, Selangor.

Berita berkaitan:

Penaja meriahkan HMMTB 2017

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Oktober 2017 @ 11:28 AM