KERETA, lori serta treler yang terbabit kemalangan di Kilometer 205.8 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara berhampiran kawasan Rehat dan Rawat Ayer Keroh, semalam.
HM Digital

Alor Gajah: Seorang penyelia syarikat penghantaran barang maut selepas kereta dipandu terbabit kemalangan dengan treler dan lori di Kilometer 205.8, Lebuhraya Utara-Selatan arah utara berhampiran susur ke kawasan Rehat dan Rawat Ayer Keroh, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 4.30 pagi, mangsa, Mohd Aznol Mohd Noor, 24, maut di lokasi kemalangan selepas Proton Waja dipandu terbabit kemalangan dengan treler tanpa muatan dan lori membawa ikan sejuk beku.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan A Asmadi Abdul Aziz berkata, ketiga-tiga kenderaan datang dari arah sama dan siasatan awal mendapati treler tanpa muatan dipandu lelaki berusia 47 tahun dan Proton Waja terbabit ketika itu berada di lorong kecemasan.

“Pemandu lori ikan berusia 31 tahun dan penumpang wanita berusia 29 tahun tidak sedar kehadiran kedua-dua kenderaan terbabit lalu melanggar belakang Proton Waja sebelum kereta terbabit merempuh treler
di hadapannya.

“Rempuhan itu menyebabkan pemandu Proton Waja maut di lokasi kemalangan,” katanya.

Beliau berkata, pemandu treler dan lori serta seorang penumpang wanita tidak cedera dan kenderaan mereka juga hanya mengalami kerosakan kecil.

Menurutnya, susulan kemalangan itu, pihaknya mengambil sampel darah pemandu lori membawa muatan ikan sejuk beku untuk ujian dadah dan alkohol bagi mengesan sama ada dia memandu di bawah pengaruh bahan terlarang atau sebaliknya.

“Mayat pemandu Proton Waja dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Alor Gajah untuk proses bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Oktober 2017 @ 5:52 AM