PUSAT Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah yang meragut 23 nyawa, bulan lalu.
Suraya Roslan
suraya@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Semua sekolah tahfiz dan institusi pondok disaran berdaftar dengan jabatan agama Islam negeri masing-masing untuk menerima manfaat daripada Bajet 2018 yang bakal dibentang pada 27 Oktober ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, ia bagi memudahkan segala urusan peruntukan disalurkan dan memastikan operasi institusi terbabit mudah dipantau terutama membabitkan aspek keselamatan.

“Mereka perlu berdaftar dengan pihak berkuasa agama negeri bagi membolehkan bantuan dapat disalurkan dengan lebih baik kepada warga institusi berkenaan terutama pelajar.

“Bagi pihak kerajaan saya mengharapkan tahfiz persendirian ini berdaftar supaya apa jua yang bakal diumumkan Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak) nanti akan dapat disalurkan dan dipantau dengan lebih baik,” katanya kepada media selepas majlis Sambutan Maal Hijrah 1439H Peringkat Wilayah Persekutuan di Kompleks Islam, semalam.

Menurutnya, agenda memartabatkan agama Islam tidak pernah dipinggirkan kerajaan berikutan setiap tahun bajet yang disalurkan juga meningkat dari setahun ke setahun.

“Sejak pemerintahan Perdana Menteri sekarang, tiga kali elaun imam dan mereka yang berada di barisan hadapan dalam memartabatkan agama Islam dinaikkan.

“Perdana Menteri turut menekankan peruntukan Bajet 2018 kepada institusi pondok dan tahfiz perlu digunakan sebaiknya bagi meningkatkan aspek keselamatan sekali gus dapat memartabatkan sistem pendidikan agama,” katanya.

Sebelum ini Najib berkata, kerajaan bakal mengumumkan peruntukan kepada sekolah tahfiz menerusi pembentangan Bajet 2018 akan datang.

Langkah itu sebahagian daripada komitmen kerajaan memastikan sekolah tahfiz selamat selepas tragedi kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah yang meragut 23 nyawa, bulan lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Oktober 2017 @ 5:00 AM