Mahaizura Abd Malik
mahaizura@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pengumuman Bajet 2018 yang akan dibentangkan 27 Oktober ini, diharap mencakupi aspek penambahbaikan pengangkutan awam secara holistik merangkumi aspek sosial, persekitaran dan ekonomi supaya khidmatnya dapat digunakan secara bersepadu oleh semua lapisan masyarakat.

Penyelidik di Pusat Penyelidikan Pengangkutan Universiti Malaya (UM) Prof Madya Dr Raja Noriza Raja Ariffin berkata, walaupun banyak penambahbaikan pengangkutan dilakukan pada masa ini, namun masih banyak ruang untuk mempertingkatkan lagi jaringan berkenaan supaya lebih mampan.

Menurut beliau, pemberian subsidi serta tambang yang murah adalah faktor utama ia menjadi pilihan orang ramai menggunakan pengangkutan awam berbanding kenderaan persendirian.

“Kita mungkin boleh mencontohi negara maju seperti di Jerman yang mana ahli organisasi pendidikan dan organisasi besar menggunakan pengangkutan awam secara percuma berikutan kumpulan organisasi berkenaan sudah membayar secara pukal bagi pihak pelajar atau pekerja mereka.

“Selain sistem jaringan Transit Aliran Ringan (LRT) dan Transit Aliran Massa (MRT), kerajaan perlu memberi lebih penekanan kepada sistem bas kerana dari segi kos ia jauh lebih murah berbanding LRT dan MRT manakala dari segi kesampaian pula bas adalah lebih mudah untuk diakses oleh pengguna.

“Beberapa bandar di dunia seperti Curitiba di Brazil juga menambah baik sistem bas mereka kepada tahap yang boleh menampung pengguna ramai lebih daripada 1.5 juta sehari,” katanya kepada Harian Metro.

Beliau yang juga Timbalan Dekan (Ijazah Dasar) Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran UM berkata, penyediaan lebih banyak perkhidmatan pengangkutan ‘feeder’ dalam bentuk bas mini atau van yang lebih efisien berbanding bas panjang juga perlu dipertimbangkan supaya dapat mengambil penumpang dari kediaman dan menghantar ke destinasi akhir.

“Salah satu daripada keluhan orang ramai tentang pengangkutan awam ialah kesampaian (akses) yang lemah dari rumah atau destinasi akhir,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Oktober 2017 @ 4:56 AM