Rosli Ilham
am@hmetro.com.my


“SELEPAS beberapa kali panggilan tidak berjawab, saya pusing kereta dan mencari mereka.

“Empat kilometer selepas itu, kerisauan hati bertukar menjadi pilu bila dapat tahu keluarga nahas,” kata Jani Lokman, 57, yang kehilangan adik ipar dalam kemalangan di Kilometer 67.8, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan dekat Kampung Kuala Abang, hari ini.

Dalam kemalangan 8.40 pagi itu, Shairani Su, 50, pembantu makmal di Kolej Vokasional Kangar meninggal dunia di tempat kejadian selepas parah di badan.

Nahas itu turut menyebabkan dua anaknya, Wan Mohd Shazwan Alif Wan Husin, 23, dan Wan Shakir Wan Husin, 10, abang arwah, Rohimi Su, 53, dan ibu saudaranya, Amnah Seman, 72, parah.

Kejadian itu dipercayai berlaku apabila Toyota Hilux yang dipandu Wan Mohd Shazwan dipercayai terbabas sebelum terbalik.

Shairani yang duduk di belakang tercampak keluar dari kenderaan dan meninggal dunia.

Jani berkata, ketika kejadian, mereka berkonvoi dua kenderaan dari Kangar, Perlis ke rumah adik arwah yang tinggal di Balai Besar, Dungun.

"Dari Perlis, kami sempat beberapa kali berhenti. Kali terakhir kami berehat di sebuah stesen minyak di Kuala Terengganu.

"Kami semua tidur dalam kenderaan agak lama sebelum meneruskan perjalanan ke Dungun," katanya ketika ditemui di tempat kejadian hari ini.

Katanya, sepanjang perjalanan, dia kerap memandang cermin belakang untuk melihat kenderaan yang dinaiki mangsa sebelum hilang dari pandangan sebaik tiba di Kampung Kuala Abang.

"Saya teruskan perjalanan dengan perlahan dan beberapa kali menghubungi mereka namun panggilan saya tidak dijawab.

"Ketika itu saya mula rasa tidak sedap hati sebelum berpatah balik untuk mencari mereka dan setiba di tempat kejadian saya lihat kenderaan mereka terbalik," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Ahmad Zailani Yaacub berkata, jenazah dibawa ke Bilik Forensik Hospital Dungun untuk siasatan lanjut manakala semua yang cedera dibawa ke hospital sama.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Oktober 2017 @ 7:51 PM
Mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian. FOTO Rosli Ilham