Proton Saga digunakan suspek serta beg milik mangsa yang ditemui semula. FOTO Ihsan polis.
Junaidi Ladjana
junaidi_ladjana@hmetro.com.my


TIGA lelaki dan seorang wanita yang terbabit dalam 12 kes curi di sekitar Kota Kinabalu ditahan polis di pusat cuci kenderaan di Putatan dekat sini, 3.10 petang semalam.

Suspek berusia 25 tahun hingga 33 tahun ditahan anggota Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner M Chandra berkata, penahanan dibuat susulan laporan seorang lelaki berusia 28 tahun yang kehilangan beg dan telefon bimbit dicuri dua lelaki di kawasan parkir Hospital Queen Elizabeth 1 (HQE 1), 5 petang kelmarin.

“Mangsa baru selesai membuat pemeriksaan kesihatan di HQE1. Dia kemudiannya meletakkan beg berisi dokumen penting, wang RM350 serta telefon bimbit di tempat duduk penumpang depan.

“Ketika menghidupkan enjin, tiba-tiba seorang lelaki merampas beg mangsa sebelum melarikan diri dengan menaiki Proton Saga.

“Mangsa cedera di siku ketika berlari mengejar suspek,” katanya, hari ini.

Menurut beliau, serbuan turut membawa kepada penemuan beg mangsa.

“Kami turut menyita Proton Saga hitam digunakan suspek.

“Siasatan mendapati, semua suspek bukan saja terbabit dengan kes curi beg itu malah 11 kes lain seperti curi tong gas dan curi dalam bangunan,” katanya.

Menurut beliau, lima kes direkodkan di Karamunsing, empat kes di Kota Kinabalu selain satu kes masing-masing di Manggatal serta Tanjung Aru.

Beliau berkata, tiga suspek lelaki mempunyai rekod kesalahan lampau iaitu kes narkotik dan kes jenayah.

“Siasatan masih diteruskan dan semua suspek yang ditahan positif syabu.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri, tindakan susulan mengikut Seksyen 39 (C) Akta Dadah Berbahaya 1952 juga akan dilaksanakan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Oktober 2017 @ 6:06 PM