Shahidan (tengah) beramah mesra bersama penerima Watikah Lantikan selepas Majlis Pelancaran CDERT-NUTP & Pemakaian Pangkat Pegawai Bersekutu CDERT-NUTP di Hotel The Putra Regency, Kangar. FOTO AZHAR RAMLI
Dziyaul Afnan Abdul Rahman
am@hmetro.com.my


SATU mesyuarat khas akan diadakan oleh Kesatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM) Sabtu ini bagi membincangkan perkara dan isu yang berlaku ke atas atlet penerjun dan perenang negara.

Presiden ASUM, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, dua isu berkenaan adalah mengenai jurulatih renang skuad kebangsaan yang disyaki merogol seorang atletnya dan seorang atlet terjun negara yang gagal ujian doping di temasya Sukan Asia Tenggara (SEA) ke-29.

Menurutnya, pihaknya akan meneliti kedua-dua perkara berkenaan dengan tenang bagi memastikan ia diselesaikan dan tidak perlu tergopoh-gapah dalam membuat sebarang keputusan.

"Kita memandang serius isu yang berlaku ke atas dua atlet dari sukan renang kita dan semua sedia maklum ia sudah dihebahkan oleh akhbar tempatan.

"Bagaimanapun mesyuarat khas yang diadakan pada Sabtu ini akan membincangkan 'ribut' yang melanda dua atlet kita kerana ia bukanlah 'ribut' yang melanda kesatuan tetapi atlet negara," katanya dalam satu sidang media selepas merasmikan Majlis Pelancaran CDERT-NUTP di sebuah hotel, di Kangarmalam ini.

Shahidan berkata, bagi kes membabitkan atlet negara gagal ujian doping, pihaknya setakat ini masih menunggu keputusan ujian sampel B atlet wanita itu dari pihak Institut Sukan Negara (ISN) berkenaan selepas difahamkan beliau positif menggunakan dadah jenis sibutramine bertujuan bagi menurunkan berat badan.

"Kita tidak boleh nak memberikan apa-apa sebarang hukuman ke atas atlet berkenaan memandangkan masih menunggu keputusan sampel B dari ISN.

"Untuk isu kedua yang melanda atlet kebangsaan yang didakwa dirogol oleh jurulatihnya, kita menyerahkan kepada Menteri Belia dan Sukan (Khairy Jamaluddin Abu Bakar).

"Menteri yang akan mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi malah sebelum ini beliau juga yang memberikan kenyataan dan ASUM akan bersama dengannya," katanya.

Beliau berkata, ASUM sudah membincangkan perkara berkenaan bersama Khairy Jamaluddin, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), dan beberapa pihak lain tentang siapa yang akan bertindak untuk memberi kenyataan rasmi berhubung dakwaan atlet yang dirogol jurulatihnya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Oktober 2017 @ 12:54 AM