Mohamad Alif ditemui lemas selepas mandi seorang diri di anak sungai Pengkalan Datu, Panchor 12 tengah hari, hari ini. FOTO Mohamad Zulhairie Manzaidi
Mohamad Zulhairie Manzaidi
am@hmetro.com.my


PELAJAR Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Panchor Perdana, Kota Bharu ditemui lemas dalam anak Sungai Pengkalan Datu, Panchor 12 tengah hari, hari ini

Mohamad Alif Zainuddin, 14, ditemui lemas selepas mandi seorang diri di anak sungai itu.

Dia sebelum itu keluar bersama lima lagi rakannya dari kawasan sekolah untuk membeli nasi di gerai berhampiran, pada 11 pagi.

Rakannya, Che Muhammad Khairy Che Ismail, 14, berkata, selepas mereka singgah di gerai berdekatan, Mohamad Alif memberitahu ingin mandi di anak sungai itu yang terletak kira-kira 500 meter dari sekolah.

"Sebaik tiba, arwah terus terjun ke dalam sungai, manakala saya serta rakan menunggu di tebing.

"Tiba-tiba, saya lihat dia terkapai-kapai dan meminta tolong sebelum kami terjun untuk menyelamatkannya. Malangnya kami tidak upaya menarik dia ke tebing kerana kami pun hampir lemas.

"Kami semua tidak mahir berenang dan terpaksa meminta tolong penduduk kampung. Ketika itu Mohamad Alif sudah hilang daripada pandangan dan hanya timbul selepas setengah jam," katanya ketika ditemui, hari ini.

Menurutnya, penduduk kampung kemudian menarik Mohamad Alif ke tebing, namun rakannya itu sudah tidak bernyawa lagi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu Asisten Komisioner Ismail Mat Sidik mengesahkan menerima laporan terbabit.

Katanya, jenazah mangsa dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini untuk dibedah siasat sebelum dituntut keluarga.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Oktober 2017 @ 6:17 PM