Zatul Iffah Zolkiply
zatuliffah@hmetro.com.my


SEORANG daripada tiga lanun yang meloloskan diri selepas merompak sebuah kapal kargo di perairan Terengganu dijatuhi hukuman penjara 16 tahun dan tiga sebatan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, hari ini.

Keputusan itu dibuat Hakim Azman Mustapha selepas tertuduh, Syafri, 46, dari Batam, Indonesia mengaku salah terhadap mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan rompakan berkumpulan.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan rompakan secara berkumpulan terhadap kapal MT MGT-1 milik syarikat Marine Global Transport berpangkalan di Thailand pada 8.30 malam, 6 September lalu.

Dia mengaku melakukan kesalahan itu bersama 11 lagi lanun termasuk seorang dalang dan dua lelaki yang masih bebas untuk merompak kapal berkenaan menggunakan senjata iaitu pisau dan parang panjang hingga mendatangkan kerugian serta ketakutan kepada anak kapal.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Farahah Mohd Suah manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Pada 20 September lalu, Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu menjatuhkan hukuman penjara selama 16 tahun terhadap dalang dan 10 lagi lanun warga Indonesia selepas mereka mengaku bersalah merompak sebuah kapal kargo di perairan Terengganu pada 6 September lalu.

Enam daripada 10 lanun berkenaan turut dikenakan hukuman lima sebatan selepas mereka dan dalang rompakan terbabit yang juga berasal dari Indonesia didakwa di dua mahkamah sesyen.

Tertuduh sebelum ini ditemui orang awam terdampar di Pantai Kampung Seberang Takir, Kuala Nerus dengan memperkenalkan diri sebagai Sabri Adnan.

Dia kemudian diserahkan kepada polis dan Jabatan Imigresen untuk tindakan lanjut.

Namun, selepas pemeriksaan dokumen dan pasport, Imigresen tidak menemui maklumat berkenaan.

Hasil siasatan lanjut Imigresen menemui data peribadi tertuduh sebelum mendapati dia adalah salah seorang daripada tiga suspek yang lolos ketika tangkapan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) pada 7 September lalu

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Oktober 2017 @ 6:23 PM
Warga Indonesia, Syafri dijatuhi hukuman 16 tahun dan 3 sebatan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu kerana terbabit dalam kes rompakan kapal tangki MT MGT1. FOTO Mohd Syafiq Ridzuan Ambak