Zatul Iffah Zolkiply
zatuliffah@hmetro.com.my


Ibu tunggal anak satu bersama teman lelakinya direman selama empat hari sehingga Sabtu depan selepas dipercayai terbabit dalam kes mencuri barangan dan perabot rumah yang disewa di Taman Semarak, Bukit Tunggal, Kuala Nerus.

Perintah reman terhadap wanita berusia 44 tahun dan teman lelakinya berusia 32 tahun dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Kuala Terengganu Roszita Md Saat bagi membolehkan siasatan lanjut mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan (KK) kerana curi dalam bangunan dijalankan.

Pasangan berkenaan sebelum ini ditahan di sebuah rumah di Taman Perdana Kubang Parit, Chabang Tiga, Kuala Terengganu kira-kira 9.30 pagi semalam.

Pasangan terbabit ditahan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu hasil maklumat dan risikan dijalankan.

Dalam serbuan itu, polis turut merampas sebuah kereta Toyota Vios yang didaftarkan atas nama suspek wanita dan satu set anak kunci rumah.

Malah, suspek wanita turut dikehendaki polis di beberapa negeri lain seperti Kuala Lumpur, Selangor, Pahang, Melaka dan Johor selepas dipercayai terbabit dalam 12 lagi kes mengikut Seksyen 380 KK dan Seksyen 420 KK kerana menipu.

Difahamkan, suspek wanita akan menyewa rumah yang dilengkapi perabot selama beberapa bulan sebelum melarikan diri bersama perabot dan kelengkapan rumah.

Sebelum ini, seorang pemilik butik menanggung kerugian hampir RM30,000 apabila pelbagai barangan elektrik di rumahnya di Taman Semarak, Bukit Tunggal, Kuala Nerus dilarikan penyewanya.

Kehilangan itu hanya disedari mangsa dikenali sebagai Hawa berusia 40-an kira-kira jam 11 pagi Sabtu lalu selepas pemeriksaan di rumahnya mendapati barangan di dalam rumahnya lesap dipercayai dilarikan suspek sebelum mangsa membuat laporan di Balai Polis Gong Badak untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Oktober 2017 @ 5:57 PM
Ibu tunggal bersama teman lelakinya dibawa ke Kompleks Mahkamah Kuala Terengganu bagi mendapat perintah reman selepas mencuri barangan rumah sewanya. FOTO MOHD SYAFIQ RIDZUAN AMBAK