PRESIDEN Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), SM Mohamed Idris menunjukkan produk yang mengandungi bahan antibakteria yang menjejaskan kesihatan dan alam sekitar. FOTO Shahnaz Fazlie Shahrizal
Zuhainy Zulkiffli
am@hmetro.com.my


PERSATUAN Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa pihak berkuasa mengharamkan segera bahan antibakteria triclosan berikutan mengandungi bahan kimia berupaya merosakkan kesihatan dan alam sekitar.

Presiden CAP SM Mohamed Idris berkata, triclosan adalah bahan ditambah kepada pelbagai produk pengguna bertujuan bagi mengurangkan atau mencegah pencemaran bakteria.

Beliau berkata, pada asalnya ia digunakan pakar bedah sekitar 1970-an bagi mencuci tangan sebelum melakukan pembedahan seterusnya berkembang serta dikomersialkan dalam sabun, ubat gigi termasuk produk lain seperti pakaian, peralatan dapur, perabot dan alat mainan.

"Kajian mendapati triclosan boleh menjejaskan aturan tiroid, testosterone dan estrogen yang boleh menimbulkan pelbagai masalah kesihatan seperti akil baligh awal, sperma kurang berkualiti, kemandulan, obesiti dan kanser selain menjejaskan pembelajaran dan memori, alahan serta melemahkan otot.

"Amerika Syarikat baru-baru ini sudah mengharamkan triclosan, malah 18 bahan antibakteria bagi mencuci tangan dan badan itu juga tidak mempunyai bukti saintifik lebih baik daripada sabun biasa atau mencegah bakteria serta penyakit tertentu," katanya dalam sidang media di Pejabat CAP, Jalan Masjid Negeri, Georgetown, hari ini.

Beliau berkata, kajian dijalankan kerajaan Amerika Syarikat mendapati bahan berkenaan boleh menembusi kulit dan salur darah, malah penyelidik sudah mengesan triclosan dalam air kencing daripada 75 peratus subjek yang diuji.

Menurutnya, bahan berkenaan turut dikesan dalam susu ibu, alam sekitar iaitu tanah, air dan ikan.

Katanya, tinjauan CAP turut menemui pelbagai produk yang mengandungi triclosan seperti sabun, ubat gigi, cucian tangan, gel mandian, syampu badan antibakteria bagi kanak-kanak serta pencuci lantai dan tandas.

"Undang-undang Malaysia tidak mewajibkan pengeluar melabel kandungan bahan kimia dalam produk mereka menyebabkan pengguna sukar mengetahui kandungan triclosan atau bahan kimia lain yang memudaratkan ada digunakan.

"Sehubungan itu, CAP menyeru pihak berkuasa melarang pengeluaran, pengimportan, pengedaran dan penjualan produk yang mengandungi bahan kimia ini kerana ia mampu menjejaskan kesihatan dan alam sekitar.

"Pengguna boleh melindungi diri daripada bakteria dengan mencuci tangan dengan baik. Lap dengan tuala bersih, mencuci permainan kanak-kanak dengan kerap serta mendidik anak mengenai cara mencuci tangan dengan betul," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Oktober 2017 @ 4:44 PM