ANTARA barangan curi yang dirampas polis. FOTO Mohd Syafiq Ridzuan Ambak
Zatul Iffah Zolkiply
zatuliffah@hmetro.com.my


JANDA anak satu bersama teman lelakinya hari ini direman selama empat hari sehingga Sabtu ini selepas dipercayai terbabit dalam kes mencuri barangan dan perabot rumah yang disewa di Taman Semarak, Bukit Tunggal, Kuala Nerus.

Perintah reman terhadap wanita berusia 44 tahun dan teman lelakinya berusia 32 tahun dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Kuala Terengganu, Roszita Md Saat bagi membolehkan siasatan lanjut mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan (KK) kerana mencuri dalam bangunan.

Pasangan berkenaan sebelum ini ditahan di rumah di Taman Perdana Kubang Parit, Chabang Tiga, Kuala Terengganu, 9.30 pagi semalam.

Pasangan terbabit ditahan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu hasil maklumat dan risikan.

Dalam serbuan itu, polis turut merampas kereta yang didaftarkan atas nama suspek wanita dan satu set anak kunci rumah.

Malah, suspek wanita turut dikehendaki polis di beberapa negeri lain seperti Kuala Lumpur, Selangor, Pahang, Melaka dan Johor selepas dipercayai terbabit dalam 12 lagi kes mengikut Seksyen 380 KK dan Seksyen 420 KK kerana menipu.

Difahamkan, suspek wanita akan menyewa rumah yang dilengkapi perabot selama beberapa bulan sebelum melarikan diri bersama perabot dan kelengkapan rumah.

Sebelum ini, seorang pemilik butik menanggung kerugian hampir RM30,000 apabila pelbagai barangan elektrik di rumahnya di Taman Semarak, Bukit Tunggal, Kuala Nerus dilarikan penyewanya.

Kehilangan itu hanya disedari mangsa dikenali sebagai Hawa berusia 40-an kira-kira 11 pagi Sabtu lalu selepas pemeriksaan mendapati barangan di dalam rumahnya lesap ebelum mangsa membuat laporan di Balai Polis Gong Badak.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Oktober 2017 @ 4:19 PM