Keadaan kereta mangsa yang terputus dua akibat kemalangan semalam. FOTO ihsan pembaca
Siti Nor Hidayatidayu Razali
am@hmetro.com.my


SELEPAS lebih lima jam dirawat, lelaki yang parah dalam kemalangan di KM32.5 Jalan Kota Bharu-Kuala Terengganu dekat Sungai Kelong, Pasir Puteh, 6 petang semalam, meninggal dunia, malam tadi.

Tuan Sabri Tuan Ismail, 40, menghembuskan nafas terakhir di Hospital Tengku Anis (HTA) Pasir Puteh pada 11.25 malam.

Arwah sebelum itu dirawat kerana kedua-dua kakinya patah dan kecederaan serius di kepala.

Ketua Polis Daerah Pasir Puteh Deputi Superintendan Abdul Rozak Muhammad berkata, siasatan kini ditukar mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Harian Metro semalam melaporkan Perodua Kancil dipandu Tuan Sabri dari arah Pasir Puteh ke Kota Bharu bertembung dengan pacuan empat roda hingga menyebabkan keretanya terputus dua.

Mangsa ketika itu dilaporkan parah dan tidak sedarkan diri, manakala pemandu pacuan empat roda berusia 36 tahun tidak cedera.

Kes ketika itu disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Oktober 2017 @ 12:33 PM
Skip this ad x