Pegawai bank diiringi polis ketika dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan pecah amanah dan seleweng barang kemas pelanggan di Mahkamah Majistret Johor Bahru. FOTO Hairul Anuar Abd Rahim
Izlaily Nurul Ain Hussein
izlaily@hmetro.com.my


PEGAWAI eksekutif bank dihukum penjara empat tahun dan dikenakan tiga sebatan oleh Mahkamah Majistret Johor Bahru, hari ini, selepas didapati bersalah melakukan pecah amanah membabitkan barangan kemas bernilai RM2.06 juta, antara Mac hingga bulan lalu.

Majistret Noor Aisyah Ahmad menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Mohd Nazreen Mohd Nasir, 28, mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah terhadapnya.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh sebagai pegawai eksekutif Unit Pentadbiran Pembiayaan sebuah bank didakwa pecah amanah jenayah ke atas barangan kemas hasil gadaian pelanggan bank bernilai RM2,064,360 di bank berkenaan di Menara Ansar, Jalan Trus, Johor Bahru, antara 28 Mac hingga 6 September lalu.

Bagi perbuatan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Sebelum hukuman dijatuhkan, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan dengan alasan dia adalah pencari nafkah tunggal dalam keluarganya.

"Saya mempunyai seorang isteri, seorang anak berusia setahun lima bulan dan turut menanggung kedua-dua mentua yang berada di Melaka.

"Ini adalah kesalahan pertama dan saya harap ia adalah kesalahan terakhir saya," katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Syafiq Mohd Ghazali berhujah supaya hukuman setimpal dikenakan terhadap tertuduh selari dengan jumlah yang terbabit mengikut kertas pertuduhan.

"Perbuatan tertuduh ini bukan saja menyebabkan kerugian kepada satu pihak, tetapi banyak pihak. Dia diamanahkan tetapi menyalahguna kuasa yang diberi oleh pihak bank.

"Semoga hukuman yang diberi bukan saja sebagai pengajaran kepada tertuduh, tetapi untuk masyarakat di luar," katanya.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman itu berkuat kuasa dari tarikh tertuduh ditangkap iaitu 29 September lalu.

Mengikut fakta kes, tertuduh yang bekerja di bank itu sejak lima bulan lalu, mempunyai akses kunci simpanan dan bertindak mengeluarkan barangan kemas milik pelanggan sebelum menggadai di beberapa kedai pajak gadai di bandar raya ini dan Melaka.

Tertuduh memberi alasan mengeluarkan barang kemas itu selepas diminta oleh pelanggan yang mahu menebusnya, sebaliknya dia sendiri yang menggadai semula barang kemas terbabit.

Perbuatannya dikesan oleh pegawai bank lain apabila mendapati sebenarnya tiada pelanggan yang mahu menebus barangan kemas terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Oktober 2017 @ 7:00 PM