Mohd Hilmie Hussin
mohdhilmie@hmetro.com.my


DUA lagi suspek yang ada kaitan dengan kes kebocoran tong klorin di Kampung Tambak Paya di sini, Khamis lalu, masih diburu.

Ketua Polis negeri Datuk Abdul Jalil Hassan berkata, dua suspek berusia 24 tahun dan 34 tahun itu sudah dikenal pasti.

“Kedua-duanya warga tempatan namun bukan berasal dari Melaka. Kita juga akan terus memburu dalang-dalang di sebaliknya,” katanya pada sidang media Karnival Pencegahan Jenayah anjuran bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Majlis Gabungan Belia Melaka (MGBM) di Hard Rock Cafe di sini, hari ini.

Beliau berkata, sehingga kelmarin, enam suspek, semuanya lelaki, direman di mengikut Seksyen A117 KPJ, Seksyen 24 Akta Kualiti Alam Sekitar 1974 dan Seksyen 284 Kanun Keseksaan.

“Antara yang ditahan adalah pekebun yang membuat laporan mengenai pembuangan tong klorin.

“Dia turut menjadi mangsa keracunan gas klorin, membuat laporan palsu mengenai pihak tertentu membuang bahan kimia itu secara haram, jadi kita juga akan mendakwanya mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan kerana membuat laporan palsu,” katanya.

Menurutnya, pihaknya sudah mengenal pasti motif kecurian klorin dari Rawang itu.

“Tujuan suspek mencuri adalah untuk menjual tong berkenaan saja kerana ia boleh dijual pada harga RM700 setong. Suspek sudah menjual tiga tong.

“Mereka ini tidak tahu yang harga gas klorin itu berjumlah ribuan ringgit, namun kerana sukar mendapatkan pembeli, mereka menyimpan tujuh tong berkenaan di rumah kosong terbabit, Mac lalu,” katanya.

Pada masa sama, Abdul Jalil berkata, indeks jenayah di negeri ini menunjukkan penurunan berbanding tahun lalu.

“Bagi tempoh Januari hingga 2 Oktober lalu, 2,252 kes jenayah dicatatkan berbanding 2,657 kes pada tempoh sama 2016.
”Bagi jenayah kekerasan, kita dapat menurunkan 116 kes atau 15.1 peratus daripada 767 kes (2016) kepada 651 kes (2017).

“Bagi jenayah harta benda, kita dapat menurunkan 15.3 peratus daripada 1,890 kes pada 2016 kepada 1,601 kes pada 2017,” katanya.

Berkaitan program, Abdul Jalil berkata, Karnival Pencegahan Jenayah PDRM bersama MGBM serta kumpulan rock Bumiputra Rockers (BPR) diharap dapat mendekatkan golongan belia dengan polis.

“Pada karnival ini, kita akan memulakannya dengan pameran di depan pintu masuk Hard Rock Cafe, diikuti persembahan BPR.

“Kita menjalin kerjasama dengan BPR kerana lagu-lagu mereka masih melekat di hati belia selain lagu itu banyak mengisahkan pengajaran dan sesuai dengan cogankata 1Impian dan 1Harapan,” katanya.

Berita berkaitan:

Suspek buang tong klorin direman

Dah cam siapa buang bahan kimia [METROTV]

4 anggota bomba sesak nafas

Sesak nafas terhidu bahan kimia

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Oktober 2017 @ 6:30 PM