KEADAAN rumah yang terbakar di Kampung Batu 2, kelmarin.
HM Digital

Sungai Petani: Jeritan jiran menyelamatkan sepasang suami isteri daripada rentung selepas rumah mereka di Kampung Batu 2, di sini, terbakar malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 11.45 malam, Phang Boon Siew, 42, dan isterinya, Sar Jit, 51, berada di dalam bilik tidur apabila dikejutkan dengan jeritan jiran di luar rumah mereka meminta keluar menyelamatkan diri berikutan rumah jiran bersebelahan kediaman mereka dijilat api.

Menurut Phang, dia dan isterinya bergegas keluar menyelamatkan diri dan sempat mengambil beberapa dokumen penting.

“Saya dan isteri terkejut mendengar jeritan orang ramai dari luar mengatakan rumah di sebelah kiri terbakar dan keluar untuk menyelamatkan diri.

“Mujur kami sempat menyelamatkan dua motosikal dan beberapa pakaian kerana kebakaran berlaku pantas sehingga menyambar separuh bahagian kiri rumah,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian semalam.

Dalam pada itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Petani, Timbalan Penguasa Bomba Mohd Ridzuan Nut Jamudi berkata, rumah mangsa satu daripada tiga rumah yang terbakar dalam kejadian itu.

Katanya, pihaknya menerima panggilan awam memaklumkan kejadian jam 11.49 malam dan 14 pegawai serta anggota dari BBP Sungai Petani serta dibantu 40 anggota Pasukan Bomba Sukarela (PBS) dari Bakar Arang, PBS Bedong, PBS Padang Lembu, PBS Sungai Petani dan PBS Semeling terbabit dalam operasi pemadaman itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Oktober 2017 @ 7:02 AM