Garret Dawum
garret@hmetro.com.my


Serdang: Keterujaan mendapatkan hasil laut dengan harga murah tidak mematahkan semangat pengunjung Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan 2017 (HPPNK 2017) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), di sini, untuk menunggu dan berbaris panjang seawal jam 9 pagi.

Malah, berlaku insiden tolak-menolak dan pergaduhan kerana risau hasil laut seperti udang, ikan, ketam dan sotong yang dijual separuh harga daripada harga pasaran habis dijual.

Seorang pengunjung, Fatimah Che Ahmad, 38, berkata, dia sanggup datang dari Klang, Selangor semata-mata untuk membeli pelbagai jenis ikan di gerai Persatuan Nelayan Kebangsaan NEKMAT dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).


PENGUNJUNG berbaris panjang seawal jam 9 pagi.

“Saya tidak melepaskan peluang ini kerana ia hanya ditawarkan sepanjang empat hari penganjuran HPPNK 2017.

“Walaupun dijual murah, sebagai suri rumah yang selalu memasak untuk keluarga, saya mendapati kualitinya sangat baik,” katanya ketika ditemui, semalam.

Dalam laporan sebelum ini, LKIM berkata, sebanyak tiga tan atau 3,400 kilogram (kg) ikan disediakan sempena HPPNK 2017.

Tinjauan Harian Metro turut mendapati kesemua ikan terjual dalam tempoh empat jam dan ikan yang habis dijual termasuklah ikan merah yang dijual pada harga RM18 sekilogram, cencaru (RM6), selar kuning (RM5), siakap (RM9), pelaling (RM8), tenggiri (RM18) dan selayang (RM6).


ORANG ramai membeli jualan hasil laut yang dijual dengan separuh harga di MAEPS Serdang.

Udang, sotong dan ketam pula habis dijual dalam tempoh setengah jam sahaja dan orang ramai tidak putus-putus mengunjungi gerai NEKMAT yang dibuka pada jam 10 pagi.

Sementara itu, seorang lagi pengunjung, Ahmad Fakri Roslan, 45, berkata, dia yang tidak sempat mendapatkan jualan hasil laut pada sesi pagi sanggup berada di MAEPS sehingga petang semata-mata untuk membeli hasil laut harga murah.

“Saya menjalankan perniagaan gerai makan dan tawaran harga murah ini membantu saya menjimatkan perbelanjaan barang mentah.

“Pada mulanya, saya tidak tahu berkenaan jualan ini tetapi ada kawan memberitahu, saya bergegas ke MAEPS dan tidak sempat membeli ketika dibuka pada jam 10 pagi hingga 12 tengahari.

“Saya dimaklumkan akan ada jualan pada waktu petang dan terus menunggu. Nasib saya baik kerana dapat membeli hasil laut segar yang ditawarkan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Oktober 2017 @ 10:06 AM