Zatul Iffah Zolkiply
zatuliffah@hmetro.com.my


POLIS hari ini, menahan pengawal peribadi yang membuat kenyataan di Facebook menghina tugas polis berikutan tindakan polis Terengganu mula menyiarkan gambar sejumlah suspek yang diburu polis.

Lelaki berusia 35 tahun itu ditahan di kawasan parkir sebuah flat di Bandar Damai Perdana, Cheras, pada 6 petang.

Ketua Polis Terengganu Datuk Aidi Ismail berkata, suspek ditahan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu bersama Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (STAFOC) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman dan Jenayah Berat (D9) Bukit Aman.

Ketua Polis Terengganu Datuk Aidi Ismail berkata, pihaknya turut merampas sepucuk pistol dan dua kelopak peluru yang setiap satu mengandungi 10 butir peluru serta satu telefon bimbit jenis Oppo F1S.

“Suspek akan direman untuk siasatan mengikut Seksyen 505(A) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya.

Aidi berkata, suspek memuat naik status menghina dan memaki polis berikutan tindakan polis menyiarkan gambar 30 individu yang dipercayai terbabit dalam jenayah bunuh, cubaan bunuh dan samun hingga mendatangkan kecederaan di Terengganu sejak 2007, pada Selasa lalu.

Katanya, pihaknya memandang serius isu ini dan tidak teragak-agak mengambil tindakan sewajarnya.

"Orang ramai diingatkan tidak sewenang-wenangnya meninggalkan komen berbaur negatif kerana apa yang dilakukan polis bagi menyelesaikan kes tertangguh," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Oktober 2017 @ 9:53 PM