Pencuci kapal laut dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi, selepas didapati bersalah membunuh seorang ahli perniagaan, tiga tahun lalu. FOTO Mohd Azren Jamaludin
Izlaily Nurul Ain Hussein
izlaily@hmetro.com.my


PENCUCI kapal hanya mampu mengalirkan air mata selepas Mahkamah Tinggi Johor Bahru, hari ini, menjatuhkan hukuman gantung sampai mati apabila dia didapati bersalah membunuh seorang ahli perniagaan yang juga jutawan dengan menikam sebelum membakar mayat mangsa, tiga tahun lalu.

Hakim Datuk Mohd Sofian Abd Razak menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Izwanuddin Kasim, 37, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan di akhir pembelaan.

Dalam penghakimannya, beliau berkata, keterangan tertuduh ketika perbicaraan membela diri banyak bergantung kepada keterangan yang dikemukakan oleh seorang saksi pendakwaan yang sebelum itu turut dituduh bersama-sama.

Selain itu, katanya, tertuduh adalah orang terakhir atau satu-satunya individu yang bersama-sama mangsa sepanjang kejadian itu bermula daripada pertengkaran di kawasan perumahan mangsa di Johor Bahru sehingga ke lokasi pembakaran mayat dibuat iaitu di sebuah kebun kelapa sawit di Batu Pahat, Johor.

"Mahkamah sudah meneliti sepenuhnya keterangan saksi pendakwaan serta hujahan kedua-dua pihak dan mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.

"Walaupun tiada keterangan mana-mana saksi yang menyatakan tertuduh menikam mangsa, tetapi apa yang dilihat adalah keterangan mengikut keadaan yang mana di setiap lokasi kejadian dari Johor Bahru ke Batu Pahat, tertuduh berada bersama mangsa sepanjang masa.

"Selain itu, terdapat keterangan saksi yang menyatakan senjata buku lima yang mempunyai sebilah pisau lipat berada dalam pegangan tertuduh sepanjang kejadian sekali gus ia sepadan dengan keterangan pakar patalogi yang mengesahkan mangsa meninggal dunia akibat tikaman di dada yang menembusi jantung oleh objek tajam," katanya.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Izwanuddin yang bekerja di Singapura didakwa bersama Noriskandar Zainal Yahya yang juga warga Singapura, membunuh Yong Boon Cheong, 54, di sepanjang Jalan Skudai, Danga Bay, Johor Bahru, antara 6 hingga 7 pagi, 4 Julai 2014.

Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, ketika perbicaraan yang bermula Mac 2015, pihak pendakwaan mengemukakan pertuduhan pindaan terhadap Noriskandar mengikut Seksyen 201 Kanun Keseksaan kerana membantu melupuskan mayat dan lelaki itu dijatuhkan hukuman penjara lapan tahun oleh Mahkamah Sesyen Johor Bahru.

Timbalan Pendakwa Raya Norafiah Saini mengemukakan 28 saksi pendakwaan dan hanya tertuduh yang diwakili peguam Nor Shahid Abd Malik dan Mohd Salihin tampil sebagai saksi pembelaan.

Sebelum hukuman dijatuhkan, tertuduh dilihat cuba mempertikaikan fakta dibaca hakim, namun ditegur Mohd Sofian yang menyatakan beliau berpandukan keterangan saksi sepanjang perbicaraan yang berlangsung hampir dua tahun bagi membuat keputusan.

Malah, katanya, tertuduh tidak menyangkal keterangan saksi yang dia banyak memainkan peranan penting dalam kejadian itu.

"Kita sudah menjalankan perbicaraan dan sekiranya tertuduh ingin mencabar keputusan mahkamah sama ada berlaku kekhilafan atau tidak, boleh berbincang dengan peguam bela dan memfailkan permohonan rayuan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Oktober 2017 @ 3:27 PM