LI Chunrong berucap pada sidang media bersama antara DRB-HICOM dan Zhejiang Geely Holding Group, 29 September lalu. FOTO Asyraf Hamzah
Muhamaad Razis Ismail
razis@hmetro.com.my


KERAJAAN tidak campur tangan dalam pelantikan Dr Li Chunrong sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perusahaan Otomobil Nasional Sdn Bhd (PONSB) PROTON Holdings Bhd yang baru.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, keputusan perniagaan itu dibuat DRB-HICOM Bhd untuk memastikan PROTON mampu bersaing ke peringkat antarabangsa.

Beliau berkata, pemilihan Dr Li turut mengambil kira pengalaman yang luas selama 30 tahun dalam bidang automatif.

"Tidak kiralah sama ada individu berkenaan warga asing atau bumiputera kerana apa yang penting, beliau mampu membawa PROTON ke tahap yang lebih tinggi.

"Industri automotif ini memerlukan skala besar, maknanya kena teroka pasaran di luar negara dan ini adalah keputusan perniagaan, kita tidak campur tangan.

"Mengikut laporan media, CEO ini mempunyai 30 tahun pengalaman dalam beberapa syarikat automatif dan DRB-HICOM mahu syarikat diuruskan golongan profesional terbaik," katanya pada sidang media selepas mengadakan mesyuarat Program Usahawan Jeli di RTC Tunjong, hari ini.

Harian Metro Jumaat lalu melaporkan, DRB-Hicom dan Zhejiang Geely Holding Group Co Ltd (Geely) mengumumkan pelantikan Dr Li sebagai CEO PONSB yang baru, berkuat kuasa hari ini.

Pelantikan itu berikutan peletakan jawatan Datuk Ahmad Fuaad Kenali.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Oktober 2017 @ 2:11 PM