Wanita warga asing yang ditahan dalam serbuan Op Gegar, di Bandar Sabindo, Tawau. FOTO ihsan Jabatan Imigresen
Nasrawati Syarifuddin
hmkk@hmetro.com.my


SERAMAI 15 warga asing ditahan Jabatan Imigresen Cawangan Tawau di sebuah pusat karaoke di Bandar Sabindo, Tawau, semalam.

Ketua Imigresen cawangan Tawau, Noraini Rasi berkata, dalam serbuan 10.30 malam itu, 10 wanita dan tiga lelaki gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah manakala dua lagi lelaki melanggar syarat pas.

"Dalam operasi itu, wanita warga asing membabitkan dua warga Indonesia dan lapan Filipina ditahan kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.

"Manakala lima lelaki warga Indonesia turut ditahan kerana kesalahan sama dan dua daripadanya melanggar syarat pas," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Noraini berkata, pemeriksaan seterusnya dilakukan di tingkat dua pusat karaoke berkenaan kerana dipercayai menawarkan khidmat seks kepada pelanggan.

"Pihak kita mengarahkan bilik di tingkat dua dibuka dan hasil pemeriksaan menemui beberapa seluar dalam dan tisu.

"Bagaimanapun, tiada pasangan ditahan di bilik berkenaan," katanya.

Katanya, semua warga asing berusia antara 23 hingga 60 tahun ditahan manakala lesen perniagaan pemilik pusat karaoke dirampas.

"Mereka dibawa ke Pusat Tahanan Sementara (PTS) Tawau untuk tindakan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Oktober 2017 @ 12:10 PM