IHSAN Datuk Malan Sabli
Raja Noraina Raja Rahim
rnoraina@hmetro.com.my


TAPIR yang cedera di kaki ditemui tersesat di Taman PJ Perdana, Seremban, malam tadi.

Pengerusi Persatuan Penduduk Taman PJ Perdana, Datuk Mazlan Sabli, berkata haiwan itu dikesan penduduk berkeliaran pada kira-kira 10 malam.

Menurutnya, haiwan itu kali kedua masuk ke kawasan perumahan selepas kali pertama, minggu lalu, dipercayai tersesat dari kawasan hutan berhampiran.

"Tapir itu dilihat agresif kemungkinan kerana kecederaannya. Haiwan itu turut merempuh pagar rumah penduduk hingga rosak.

"Kami kemudian menghubungi Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) untuk tindakan lanjut," katanya ketika dihubungi hari ini.

Bagaimanapun, katanya, tapir berkenaan gagal ditangkap anggota PERHILITAN dan dipercayai masuk semula ke hutan berhampiran.

Sementara itu, Pengarah PERHILITAN Negeri Sembilan Wan Mat Wan Harun, berkata pihaknya akan meneruskan operasi menjejak haiwan itu.

Beliau berkata, pihaknya juga akan memasang perangkap di kawasan haiwan itu dipercayai berada.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 September 2017 @ 6:20 PM